Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi peringatan tegas terhadap mana-mana pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga boleh mengganggu proses siasatan agensi itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, apabila sesuatu siasatan sedang dijalankan, mana-mana pihak diharap tidak memberikan sebarang komen atau pembelaan.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melakukan tindakan yang boleh menjejaskan siasatan. Hormatilah proses siasatan, kita melakukan siasatan mengikut undang-undang.

"Beri ruang kepada kami untuk siasat dan membuat keputusan,” katanya selepas merasmikan Kembara Jelajah Antirasuah 2017 (KEJAR 17) sempena sambutan ulang tahun jubli emas SPRM ke-50 peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

Beliau menegaskan SPRM boleh mengambil tindakan mengikut seksyen 48 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya ada pihak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan pihaknya.

Semalam Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dilaporkan berkata, bahawa penahanan tiga kakitangannya oleh SPRM adalah tidak berasas selain menegaskan bahawa mereka yang ditahan itu sebagai tidak bersalah.

Ketiga-tiga kakitangan Sivarasa iaitu seorang setiausaha politik, pembantu peribadi dan keraninya direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM20,000.

Pada Khamis SPRM juga telah memanggil Sivarasa untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.