Sebelum ke pusat itu, Engku Rohani yang bekerja sebagai tukang cuci itu terlebih dahulu mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori seperti sisa makanan, botol plastik, kertas, plastik bungkusan, dan kadangkala seminggu sekali, dia membawa minyak terpakai.
Di pusat KOSIS, petugas akan menerima sisa pepejal itu dan menimbangnya bagi menentukan jumlah yang perlu dibayar.
Berbunga hati Engku Rohani kerana sisa pepejal bukan hanya mudah diurus tetapi dia mendapat bayaran wang tunai pula untuk menambah pendapatan sampingan keluarga.
Selain Engku Rohani, seorang lagi penduduk rumah pangsa itu, Ahmad Hizam Hairudin,55, berkata, dia boleh menjana sehingga RM200 sebulan sejak menghantar sisa pepejalnya ke pusat KOSIS untuk diuruskan.
"Jika dahulu saya membuang sampah melalui saluran sampah begitu sahaja, tidak saya fikir sampah itu jadi apa, pergi ke mana, tetapi dengan wujudnya KOSIS ini kita jadi tahu sisa pepejal kita diurus malah memberi pula pendapatan kepada kita," katanya yang bekerja sebagai seorang kerani kepada Bernama.
Menurut Ahmad Hizam yang juga Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga Rumah Pangsa Jalan Hospital, sampah yang dikumpulnya termasuk bekas telur, sisa makanan yang sudah tentu akan mendatangkan bau yang kurang menyenangkan jika dilonggok sahaja di rumah serta barang elektrik yang tidak digunakan lagi juga boleh dihantar ke pusat KOSIS.
SAMPAH JADI DUIT
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, KOSIS merupakan satu inisiatif memudah dan membantu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) menjalankan rawatan sisa makanan serta menukarkan barangan kitar semula kepada tunai.
Ia selaras dengan hasrat Dasar Kebersihan Negara dan Dasar Komuniti Negara, iaitu untuk mewujudkan masyarakat atau komuniti yang membudayakan amalan kebersihan dan kitar semula bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian alam.
"Kedua-dua aspek ini adalah elemen penting yang ingin diterapkan oleh Kerajaan MADANI dalam kalangan rakyat negara ini demi negara yang bersih, mampan dan sejahtera.
Ahmad Husaini menjelaskan, program KOSIS dilaksanakan dengan mewujudkan sebuah pusat KOSIS di PPR bagi menjalankan aktiviti kitar semula dan perawatan sisa makanan dalam komuniti PPR berkaitan.
Matlamatnya adalah untuk mendidik komuniti mengasingkan sisa pepejal, membantu meningkatkan ekonomi keluarga B40, membudayakan amalan menghargai sisa sebagai sumber dan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.
"Inisiatif ini juga dapat menggalakkan penghuni PPR untuk membudayakan amalan kitar semula bagi menyumbang kepada sasaran peningkatan kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025 dan menyokong kepada pelaksanaan penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) yang mula dikuatkuasakan pada tahun 2015," katanya.
BAGAIMANA KOSIS BERFUNGSI DAN KISAH KEJAYAANNYA
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Husaini berkata, inisiatif bermanfaat ini dilaksanakan secara eksklusif di 17 buah PPR yang terpilih dan merupakan perintis kepada pelaksanaan program KOSIS semenjak tahun 2020.
Pusat KOSIS diwujudkan melalui pengubahsuaian rumah sampah sedia ada dan penyediaan kabin yang diubahsuai untuk dijadikan sebagai sebuah pusat penerimaan barangan kitar semula.
Menurut beliau, SWCorp menempatkan dua orang petugas di setiap Pusat KOSIS bagi melaksanakan aktiviti kesedaran dan kitar semula juga melaksanakan libat urus bersama penghuni PPR bagi menggalakkan penyertaan dalam program berkenaan.
"Penghuni PPR yang telah mengasingkan sisa kitar semula dari rumah mengikut jenis akan diterima dan ditimbang untuk direkod terlebih dahulu.
"Sisa kitar semula yang dikumpul akan dijual kepada pengusaha kitar semula tempatan dan hasil jualan tersebut akan diagihkan kepada peserta program KOSIS," katanya.
Paling menarik, pusat KOSIS juga menerima sisa makanan dari dapur penduduk untuk dirawat melalui kaedah pengkomposan sisa makanan kepada baja organik secara manual (Takakura Home Method) dan mekanikal (mesin kompos) yang baik untuk tanaman.
Petugas KOSIS membimbing dan mengajak penduduk yang berminat untuk bersama-sama menjalankan aktiviti perawatan sisa makanan tersebut.
Malah, peserta yang menyertai aktiviti ini sudah boleh melaksanakan sendiri perawatan sisa makanan dan dipantau oleh petugas pusat KOSIS dan baja kompos yang dihasilkan kemudiannya digunakan di kebun komuniti PPR.
Berkongsi angka kejayaan, Ahmad Husaini berkata, sejak mula diperkenalkan pada tahun 2020 sehingga tahun lalu (2023), sebanyak 47.5 peratus premis di 17 buah PPR, iaitu bersamaan dengan 22,550 orang penduduk PPR menerima manfaat daripada hasil penjualan barangan kitar semula yang dilaksanakan di KOSIS.
"Sepanjang pelaksanaan program KOSIS dari tahun 2020 hingga 2023 di 17 buah PPR, sebanyak 461,685.64 kilogram (kg) barangan kitar semula bernilai RM138,505.00 berjaya dikumpul dan dijual, manakala sebanyak 51,496.98kg minyak masak terpakai bernilai RM144,188.00 pula berjaya dikumpul dan dijual.
"Melalui Program KOSIS ini sebanyak 551,745.49kg sisa pepejal (sisa kitar semula, sisa makanan dan minyak masak terpakai) berjaya dilencongkan daripada sampai ke tapak pelupusan.
"Tindakan ini secara tidak langsung dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan di samping membantu mengurangkan kos operasi tapak pelupusan yang ditanggung oleh kerajaan," jelasnya.
JANA PENDAPATAN B40 DAN HASILKAN BAJA KOMPOS
Penjualan sisa pepejal di KOSIS boleh menjana pendapatan tambahan penduduk terutama golongan B40 dan menurut Ahmad Husaini, berdasarkan rekod, melalui program KOSIS, julat purata hasil pendapatan peserta daripada menjual barangan kitar semula adalah antara RM30 sehingga RM400 sebulan.
Kongsinya lagi, sepanjang pelaksanaan program KOSIS dari tahun 2020 hingga 2023 di 17 buah PPR, sebanyak 7,501.21kg baja kompos dihasilkan daripada perawatan sisa makanan penghuni dan ia digunakan di Kebun Komuniti iaitu usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membangunkan kebun komuniti secara tersusun, sistematik dan mampan di kawasan bandar.
Menyentuh mengenai sasaran, Ahmad Husaini berkata, menjelang tahun 2025, SWCorp mensasarkan 70 peratus premis bersamaan 38,040 orang penduduk daripada 17 buah PPR sedia ada menyertai program KOSIS merangkumi penglibatan masyarakat setempat dalam aktiviti kesedaran terhadap kebersihan persekitaran serta amalan dan budaya kitar semula.
KOSIS IPOH PALING BERJAYA
Pusat KOSIS Rumah Pangsa, Jalan Hospital Ipoh, mula beroperasi pada 20 Mac 2020 dengan penglibatan 283 unit atau 48.05 peratus premis berpenghuni.
Menurut Ahmad Husaini, cabaran yang perlu ditangani ketika mula-mula pusat itu beroperasi ialah untuk menyebarkan maklumat mengenai kitar semula kepada penduduk.
Namun dengan kerjasama persatuan penduduk, ianya berjaya dilaksanakan dan pusat itu adalah antara KOSIS paling berjaya.
Pusat berkenaan yang juga dibekalkan dengan mesin kompos mampu menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan yang diproses, di samping yang dibuat secara manual.
"Baja kompos yang dihasilkan diguna untuk membaja tanaman di kebun komuniti yang terletak di sebelah pusat ini yang turut menjana pendapatan hasil jualan sayur-sayuran seperti cili, terung, bayam dan kangkung," katanya sambil berkata, baja kompos turut dijual kepada penduduk dan pengguna.
Berdasarkan rekod dari tahun 2020 hingga Disember 2023, sebanyak 33,171.26kg barang kitar semula, 4,589.70kg minyak masak dan 6,225.40kg sisa makanan direkodkan di KOSIS tersebut dengan nilai jualan sejumlah RM23,558.60 sepanjang tempoh pelaksanaan program ini.
"Sehingga tahun 2023, dianggarkan sebanyak 600 kilogram baja kompos dihasilkan oleh Pusat KOSIS Rumah Pangsa Jalan Hospital dan daripada jumlah itu, sebanyak 74kg dijual kepada pengguna, mendatangkan hasil sebanyak RM370, " katanya.
Susulan kejayaan itu, pusat tersebut dinobat Pusat KOSIS Terbaik dalam Program Pengiktirafan Komuniti Sifar Sisa 2023 daripada 17 buah Pusat KOSIS yang terlibat, pada tahun lalu.
Pusat KOSIS itu juga dijadikan Hab Mini Komuniti Sifar Sisa yang menjadi tempat rujukan utama oleh Persatuan Penduduk atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan agensi setempat dalam usaha melaksanakan aktiviti bermanfaat kepada komuniti, terutamanya dalam pengamalan kebersihan dan kitar semula.
SOKONGAN, BIMBINGAN PIHAK MAHU BUKA KOSIS
Dalam pada itu, KPKT melalui SWCorp sedia memberikan bimbingan dan sokongan bagi mana-mana pihak terutama pengurusan PPR yang mahu menubuhkan KOSIS di komuniti mereka bagi memastikan pengurusan yang berkesan dan berdaya maju.
Menurut Ahmad Husaini, penubuhan pusat KOSIS yang baharu oleh PPR selain 17 PPR sedia bergantung kepada kehendak dan kesanggupan komuniti PPR yang ingin mewujudkan kemudahan tersebut di kawasan masing-masing serta diuruskan sendiri oleh komuniti tersebut.
"KPKT dan SWCorp mengatur hala tuju Program KOSIS di 17 PPR berkaitan untuk meningkatkan penglibatan dan keterlibatan komuniti setempat dalam menjaga dan menguruskan Pusat KOSIS dengan lebih berkesan.
"Dalam hal ini, SWCorp akan menyerahkan pengurusan Pusat KOSIS kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Persatuan Penduduk setempat setelah tahap kesedaran dan penglibatan komuniti dalam aspek kitar semula ini mencapai tahap yang tinggi," katanya.
Beliau menambah, pusat KOSIS akan diuruskan secara swadaya oleh JMB atau Persatuan Penduduk dan akan dipantau oleh SWCorp secara berkala bagi memastikan aktiviti kitar semula ini berjalan lancar selaras dengan hasrat kerajaan dan komuniti setempat akan mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan operasi harian pusat.
"Sekiranya terdapat mana-mana PPR yang berminat untuk mewujudkan Pusat KOSIS selain di 17 PPR yang sedia ada, KPKT melalui SWCorp akan memberikan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan serta sokongan kepada JMB atau Persatuan Penduduk untuk menguruskan pusat KOSIS," katanya.
-- BERNAMA