KUANTAN: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat telah mengambil tindakan terhadap satu aktiviti pemindahan bahan batuan dipercayai tanah merah secara tidak sah di satu lot tanah di Kampung Bukit Pampong, Raub pada Sabtu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, pegawai UPNP telah terlihat aktiviti tersebut.

"Pegawai terbabit seterusnya melakukan intipan di mana mereka mendapati sebuah jengkaut sedang memunggah tanah dan mengisi ke dalam sebuah lori angkut tiga tan.

"Lori tersebut kemudiannya keluar dari kawasan tanah diambil dan menghala keluar ke jalan.

"Pegawai UPNP telah bertindak menahan lori tersebut dan seterusnya meminta pemandu lori itu menunjukkan sebarang dokumen atau permit kelulusan berkenaan kerja yang dilakukan, namun gagal," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, seorang lelaki telah bertemu dengan Pegawai UPNP dan menyatakan dia adalah pemilik lot kawasan tanah dihantar.

"Lelaki terbabit mengaku kerja-kerja pemindahan bahan batuan itu adalah atas tanggungjawabnya.

"Pegawai UPNP kemudiannya telah meminta sebarang dokumen atau permit kelulusan berkenaan kerja yang dilakukan, namun pemilik tanah tersebut gagal berbuat demikian," jelasnya.

Wan Rosdy berkata, pegawai penguatkuasa telah mengambil tindakan dengan merampas sebuah jengkaut dan sebuah lori angkut tiga tan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pencabutan atau pemindahan bahan batuan secara tak sah.

"Saya menasihati mana-mana pemilik tanah yang ingin melakukan pemindahan bahan batuan supaya mendapatkan maklumat dan nasihat terlebih dahulu daripada Pejabat Daerah dan Tanah.

"Ini kerana kemungkinan apa yang kita lakukan ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara 1965," ujarnya.