Ketika ini, musim tengkujuh melanda Pantai Timur dengan Monsun Timur Laut dijangka sehingga Mac tahun depan.
Tinjauan ke Kampung Sungai Kayu Ara, Raub yang menjadi antara lokasi paling teruk terjejas akibat bah sebelum ini, masih dapat menyaksikan kesan tinggalan bencana berkenaan.
Selain menemui rangka rumah mangsa banjir yang hanyut, ada juga rumah yang hancur dibadai arus ganas banjir tahun lalu.
Bagi seorang penduduk, Paryadi Mangon, 57, rumah pusaka keluarganya rosak dan dihanyutkan beberapa meter dari tapak asalnya.
"Kejadian air besar (banjir) pada waktu malam, saya tengah duduk tengok paras air.
"(Sewaktu kejadian) itu saya pun keluar. Masa tu rumah ni ada lagi," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Selepas paras banjir kian surut, Paryadi kembali melihat keadaan namun sama sekali tidak menyangka rumah yang menjadi tempat berteduhnya sejak kecil itu rosak dihentam arus bah.
Kini, dia terpaksa menumpang rumah kakaknya di kampung berhampiran sambil menunggu rumah baharu yang dijanjikan bantuan kerajaan negeri siap dibina.
"Sekarang saya duduk rumah kakak saya menumpang, dekat dua tahun (menumpang) dari tahun 2021 sampai sekarang.
"Ada dapat rumah baharu, di atas sana (berhampiran), namun kira belum buat lagi, tapak ada dah cuma bina belum lagi.
"Lama juga menunggu daripada dulu lagi banjir, tak sabar rasanya nak dapat rumah baharu, sebab menumpang kan tak berapa selesa," katanya lagi.
Selain rumah Paryadi, beberapa buah rumah juga dilihat hancur dibadai banjir.
Penghuninya terpaksa berpindah ke kawasan lain atas faktor keselamatan.
Risau apabila hujan
Kru Astro AWANI kemudian berjalan sehingga ke hujung kampung, dan melihat sebuah rumah yang masih utuh.
Ternyata, masih ada penghuninya. Ketika didekati, Ahmad Osman, 70, menceritakan keadaannya setiap kali hujan lebat melanda kampung itu.
"Pak cik tinggal seorang di kawasan ini... satu keluarga je lah... pak cik dengan mak cik.
"Kalau hari hujan lebat, pak cik malam-malam terpaksa keluar tengok air dekat sungai tu, risau memang risau," katanya.
Rumahnya turut rosak akibat banjir, namun telah dibaik pulih menerusi bantuan RM15,000 daripada kerajaan negeri.
Meskipun masih bertahan tinggal di kawasan itu, jauh di sudut hati Ahmad, tidak dapat dinafikan tentang keinginan berpindah ke kawasan baharu.
"Kalau diberi peluang, pak cik memilih untuk berpindah sebab sekarang ni, kalau pak cik pergi masjid pun waktu malam, mak cik tinggal seorang di rumah.
"Nak buat apa-apa pun bimbang (keselamatan) mak cik, sebab dia tinggal seorang di rumah," luahnya.
Berdasarkan pemerhatian, rumah Ahmad hanya kurang 500 meter dari Sungai Kayu Ara.
"Memang menggelabah bila tengok hari mendung, hati tu memang tak tenteram.
"Air tu sini, dari tempat kita berdiri sampai ke jambatan (sambil menunjukkan tempat). Dulu selalu pindah bila air sudah paras dada, air sangat laju di kawasan ini.
"Pak cik tak ada tempat jika nak pindah rumah lain, rumah pak cik sini... pak cik duduk sini sejak kecil dulu.
"Apa-apa berserah kepada Allah SWT, kemudian langkah keselamatan pak cik ambil dulu. Masa banjir besar pun pak cik dah pindah awal," katanya lagi.