KUALA LUMPUR: Universiti di Malaysia digalakkan membuat promosi di Senegal untuk menarik lebih ramai penuntut dari negara Afrika Barat itu melanjutkan pengajian di Malaysia.

Duta Malaysia ke Senegal Datuk Shazelina Zainul Abidin berkata, beliau telah melihat peningkatan minat terhadap pendidikan tinggi di Senegal dengan majoriti 94 peratus populasinya beragama Islam.

Beliau yang juga ditauliah serentak ke Burkina Faso, Mali, Gambia dan Cabo Verde, menyatakan sekitar 120 penuntut baharu Senegal akan melanjutkan pengajian di Malaysia akhir tahun ini, peningkatan sekurang-kurangnya 300 peratus, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Beberapa tahun sebelum ini, hanya segelintir sahaja penuntut Senegal, kurang daripada 20. Tetapi sekarang jumlahnya kian bertambah.

"Mereka teruja adanya negara Islam Asia yang stabil dan sangat dihormati di Senegal. Mereka sukakan Malaysia dan tidak bimbang menghantar anak-anak mereka ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini..

Shazelina menegaskan bahasa tidak lagi menjadi penghalang di negara berbahasa Perancis itu kerana bahasa Inggeris telah mendapat tempat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mereka tahu ia adalah lingua franca dunia.

Shazelina berkata, ini adalah pelaburan jangka panjang negara kerana mereka yang mendapat pendidikan di Malaysia akhirnya akan berasa selesa untuk berniaga dan berurusan dengan Malaysia.

-- BERNAMA