KUALA LUMPUR: Australia telah mengenakan sekatan ke atas peneroka ekstrem Israel dan akan menolak visa kepada sesiapa yang dikenal pasti dalam kumpulan berkenaan untuk perjalanan ke negara itu.

Menteri Luar Australia, Penny Wong bagaimanapun berkata tindakan terhadap individu sahaja tidak cukup  untuk "mengubah keadaan", dipercayai merujuk kepada situasi serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Berucap pada Perbahasan Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York pada Jumaat, Wong berkata Australia  berkongsi rasa kecewa dengan majoriti besar negara-negara lain.

"Lebih 77 tahun sejak Perhimpunan Agung ini meluluskan Resolusi 181 - sebuah pelan untuk dua negara berdampingan (penyelesaian dua negara ) iaitu satu Yahudi dan satu Palestin.

"(Tetapi) 77 tahun kemudian, negara Palestin itu masih tidak wujud, yang lama dijanjikan sebagai hasil akhir proses damai (dan ) telah terhenti," katanya dalam ucapan tersebut.

Berucap lanjut, Wong berkata pada minggu ini juga Australia telah menghimpunkan sekumpulan menteri untuk meneruskan satu deklarasi baharu bagi melindungi petugas-petugas kemanusiaan.

Deklarasi tersebut, katanya, akan dibangunkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk menunjukkan kesatuan komitmen komuniti antarabangsa melindungi pekerja bantuan.

"...(Deklarasi itu) akan disalurkan ke dalam tindakan di Gaza, Sudan, Ukraine, dan dalam semua konflik semasa dan akan datang," tambah beliau.

Tanpa merujuk secara spesifik nama negara, Wong memaklumkan beberapa negara dilihat cuba memecahbelahkan dunia ketika cabaran memerlukan semua bersatu dan bersama dalam menyokong keselamatan, kemakmuran, serta kedaulatan semua negara.

"Australia mempunyai visi yang berbeza untuk dunia," kata Wong.

PBB mengeluarkan Resolusi 181 PBB pada November 1947 yang membahagikan kawasan Palestin kepada dua iaitu 57 peratus kawasan Arab Palestin, manakala 43 peratus lagi milik Yahudi Israel.

Perhimpunan Agung itu juga memutuskan bandar Baitulmaqdis hendaklah ditadbir oleh pentadbiran antarabangsa khas di bawah PBB.

Pelan pembahagian ini bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.