Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, hubungan yang wujud, biarpun berdepan pelbagai cabaran seperti pertukaran kerajaan dan pentadbiran, harus dilihat dalam konteks kekuatannya yang telah wujud selama berdekad lamanya.
"Ini bermakna bahawa hubungan itu lebih luas dan lebih mendalam pada dasarnya. Jadi kami cuba untuk meliputi lebih banyak bidang dan kami cuba untuk mempunyai keterlibatan yang menyeluruh dan lebih mendalam.
"Saya fikir ia adalah penting, untuk mempunyai momentum yang lebih besar bagi penglibatan praktikal dan konkrit dalam perkongsian strategik yang komprehensif," katanya.
Jelasnya lagi pelbagai isu yang mahu ditumpukan Malaysia dan Australia menerusi lebih banyak dialog antaranya mengenai pendidikan dan penglibatan yang lebih konkrit dalam pendidikan.
Selain itu transformasi digital jelas sekali merupakan aspek pemulihan ekonomi dan masa depan ekonomi Malaysia.
Katanya Australia juga berminat dengan perubahan iklim dan itu antara bidang yang diutamakan oleh kerajaan baharu.
"Jadi saya berasa sangat optimistik tentang gerak kerja yang boleh kita lakukan bersama," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Consider This, pada Rabu.
Dalam pada itu, Wong juga yakin dasar iklim yang direncanakan pentadbirannya mampu menyelamatkan reputasi negara itu yang terjejas berhubung menangani perubahan iklim, dengan menggariskan sektor tenaga sebagai salah satu fokus utama.
"Kami adalah kerajaan yang bercita-cita tinggi, kerajaan yang komited untuk mengambil tindakan terhadap perubahan iklim.
"Bukan sahaja pelepasan sifar bersih menjelang 2050, tetapi juga pengurangan 43 peratus menjelang 2030.
"Kami akan mengubah sektor tenaga dan grid tenaga yang kami jangkakan lebih 80 peratus tenaga kami akan datang daripada sumber boleh diperbaharui menjelang akhir dekad ini. Jadi ini adalah isu-isu terpenting," ujarnya lagi.
Wong dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia, bermula Selasa lalu.