PUTRAJAYA: Keikhlasan Micheal Tong Wai Siong menjaga tiga beradik yatim piatu beragama Islam dan diberikan didikan agama sempurna mengangkat beliau sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

Tindakan Tong, 55, atau lebih mesra dipanggil 'Uncle Mike' menjaga Rafie Ahmad Fauzi serta dua lagi adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman sejak 2008 disifatkan sebagai memartabatkan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia MADANI.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah itu pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 di sini semalam.

Kisah anak jati Kuala Lumpur itu yang tidak kekok menjaga Rafie yang kini berusia 29 tahun; Rasyid, 28 dan Abdul Rahman, 24, biarpun berlainan agama dan bangsa sebelum ini tular selepas dilaporkan beberapa media tempatan beberapa bulan lepas.

Mengimbau kembali pertemuannya dengan Rafei, Rasyid dan Abdul Rahman kira-kira 16 tahun lepas, Uncle Mike berkata beliau pada mulanya bertemu dengan Rafie yang duduk berseorangan di sebuah rumah kebajikan di Gombak, Selangor ketika menjalankan kerja amal di situ.

"Saya macam tergerak hati, memang nak membantu budak ini (Rafei). Niat saya nak bagi dia membesar dan menjadi seorang insan yang sempurna," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan berkenaan.

Setelah beberapa tempoh meluangkan masa bersama Rafei, beliau menyedari bahawa Rafei telah dipisahkan dengan dua adiknya yang ditempatkan di rumah anak yatim berlainan.

Uncle Mike kemudian berjaya mengesan Rasyid dan Abdul Rahman di sebuah rumah anak yatim di Klang, Selangor lalu mengambil keputusan untuk menjaga tiga beradik itu bersamanya di Bandar Sri Damansara.

Beliau menyifatkan anugerah diterima sebagai penyuntik motivasi buat dirinya untuk meneruskan kerja kebajikan dan membantu golongan memerlukan.

"Rasa terharu... saya tidak pernah menyangka akan terima anugerah ini sebab saya datang daripada keluarga biasa sahaja. Selama 16 tahun saya tak bercerita kepada sesiapa pun tentang perkara ini sehinggalah kisah saya disiarkan dalam akhbar," katanya.

-- BERNAMA