Cadangan PAS untuk bermuzakarah dengan UMNO untuk membincangkan perlaksanaan pentadbiran Islam di negara ini amat dialu-alukan oleh mereka.

Ahli Parlimen Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata muzarakah ini akan memanfaatkan rakyat beragama Islam di negara ini.

“PAS dan UMNO adalah parti orang Melayu. Sinonim parti Melayu adalah agama Islam dan PAS memperjuangkan ideologi Islam.

“Muzakarah ini perlu demi perpaduan agama yang berpaksikan Mekah.

“Saya sangat mengalu-alukan perbincngan menjurus kepada agama,” katanya kepada Astro AWANI.

Bukan sahaja itu, Abdul Rahman juga berkata perbinvangan ini tidak harus dihentikan setakat pentadbiran Islam tetapi isu memperkasakan ekonomi Bumiputera harus dibincangkan juga.

Turut bersetuju dengan Abdul Rahman ialah Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Fauzi Zahari.

“Saya sangat bersetuju dengan cadangan ini. Tak kiralah, PAS ke, PKR ke DAP ke yang nak bermuzarakah dengan UMNO. Sekiranya ia untuk perpaduan negara, ia amat dialu-alukan.

“Ini kerana perkara yang bercanggah seperti isu Kalimah Allah menjejaskan seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Kita hendak perkara-perkara seperti ini diselesaikan untuk kebaikkan semua orang,” katanya.

Pada Ahad, PAS secara terbuka menyatakan kesediaannya bermuzakarah dengan UMNO untuk berbincang mengenai perlaksanaan pentadbiran Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sedia pada bila-bila masa bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan rakyat.

Abdul Hadi telah berkata, PAS perlu memainkan peranan dalam mengingatkan UMNO supaya mengamalkan ajaran Islam dalam pentadbiran termasuk berkaitan isu ekonomi, perundangan mahupun keselamatan.

Perdana Menteri dan Presiden UMNO pula, mengambil sikap terbuka berhubung cadangan muzakarah yang dikemukakan PAS.

Najib berkata, beliau sedia bertemu dengan kepimpinan PAS bagi membincangkan perkara itu.

Malah katanya, pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob akan dilakukan dalam masa terdekat sebagai langkah pertama.

Menurut Najib, kerajaan tidak mempunyai halangan melakukan sebarang perbincangan namun, skop perbincangan perlu diteliti terlebih dahulu.