KUALA LUMPUR: Selepas Datuk Seri Ahmad Maslan gagal mendapat sokongan untuk diangkat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, UMNO kini mencalonkan Ahli Parlimen Cameron Highlands sebagai calon baharu.

Menerusi perkongsian di Twitter, Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO, parti itu bersetuju untuk memilih Ramli bagi memikul jawatan tersebut.

“Ini suatu rekod sejarah baharu, Ramli bakal menjadi Orang Asli yang pertama dicalon untuk menjadi Timbalan Speaker.

“Hari ini merupakan hari terakhir untuk cadangan nama Timbalan Speaker, sebelum sidang yang bakal berlangsung pada sesi Parlimen 25 Oktober," jelas Ahli Parlimen Pontian itu.


Sebagai rekod, kerajaan perlu mencalonkan nama Timbalan Speaker kedua bagi menggantikan MP Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

Kerajaan sebelum ini mencalonkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker, sementara pembangkang menamakan MP DAP, Nga Kor Ming sebagai calon mereka.

Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan depan.