Cakna dengan kepentingan pendidikan awal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggerakkan usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, usaha itu merangkumi aspek pengurusan harian, penyediaan bahan pembelajaran, juga pemahaman mendalam mengenai perkembangan psikologi dan emosi kanak-kanak.
“Antara inisiatif utama yang bakal dijalankan adalah pertukaran tenaga pengajar dan kakitangan, pembangunan sijil profesional untuk guru tadika dan taska, serta kursus latihan untuk meningkatkan kompetensi guru-guru sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan, universiti itu kini mengorak langkah baharu dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan penyedia platform pendidikan awal, Al Kauthar Eduqids Sdn. Bhd.
Jelasnya, kerjasama itu juga memberi fokus kepada peningkatan kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai perkembangan holistik kanak-kanak.
“Pihak pengurusan pusat pendidikan awal kanak-kanak juga akan diberikan latihan pengurusan yang lebih komprehensif bagi memastikan operasi pusat-pusat ini berjalan dengan lancar dan efisien.
“Melalui MoU ini, pelajar sarjana muda dan pascasiswazah dari UiTM dan Al Kauthar Eduqids juga akan diberi peluang untuk memperluaskan pengalaman mereka dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha itu juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam mentransformasi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.
“UiTM optimis bahawa kerjasama ini akan menghasilkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga seimbang dari aspek sahsiah dan emosi.
“MoU ini diharap menjadi batu loncatan kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa akan datang,” ujarnya.