Rakyat Malaysia digesa mengubah sikap mereka terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam usaha mengurangkan bencana alam.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin berkata perubahan iklim selalunya berpunca daripada perbuatan manusia seperti penebangan hutan dan pembuangan sampah ke dalam sungai yang menyebabkan berlakunya bencana alam.

"Aktiviti sebegini menyebabkan berlakunya perubahan iklim dan bencana alam. Banyak mangsa yang terjejas dari segi mental dan fizikal sehingga mengakibatkan masalah kesihatan seperti kemurungan dan kebimbangan," katanya kepada Bernama pada Bengkel Antarabangsa Ke Arah Pembangunan Platform Serantau bagi Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana di Asia yang diadakan di IKIM di sini pada Selasa.

Bengkel dua hari itu, yang berakhir hari ini, diadakan sempena projek penyelidikan bersama tiga tahun di antara Universiti Kyoto di Jepun dan IKIM yang akan berakhir tahun depan.

Bengkel siri kelima itu bertujuan mewujudkan kerjasama dalam usaha mengurangkan risiko di Jepun, Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Selain itu, Prof Azizan juga berkata adalah penting untuk kembali kepada ajaran al-Quran, yang menekankan mengenai hubungan dengan alam dan menanganinya sebagai amanah.

"Alam itu amanah daripada Allah SWT dan kita kena menjaganya dengan sebaik mungkin. Alam semulajadi itu ada ''mizan'' atau keseimbangan. Jika kita tebang pokok, kita mesti tanam semula untuk menjaga keseimbangan tersebut.

"Sebagai manusia biasa, kita perlu husnuzon, atau berfikir positif dengan perancangan Allah, serta istiqamah (dengan bertindak sewajarnya) dan reda (menerima ketentuan Tuhan) ketika berdepan dengan bencana alam," katanya.

-- BERNAMA