Beliau berkata, hubungan dua hala di antara dua negara telah ditingkatkan kepada peringkat strategik pada 2014, dan seterusnya menjadi peringkat strategik komprehensif pada 2022, dengan salah satu tumpuan ialah pendidikan dan sumber manusia.
Susulan keadaan yang menindas, serta batasan mentaliti yang satu ketika dahulu mendominasi Turkiye, Erdogan berkata, ramai dari kalangan belia mereka mengambil keputusan untuk datang ke Malaysia bagi melanjutkan pelajaran serta membina kerjaya dalam akademik.
“Syukur kepada tuhan, zaman itu sudah berlalu. Hari ini Turkiye menawarkan peluang pendidikan tinggi kepada hampir 340,000 pelajar antarabangsa dari 190 negara.
“Ramai generasi baharu melanjutkan pelajaran di Turkiye dan Malaysia dengan bantuan biasiswa. Tambahan pula, sejak 2019, bahasa kebangsaan Turkiye telah ditawarkan di Universiti Malaya melalui kerjasama strategik di bawah Pusat Kebudayaan Emre Yunus. Ketika ini kami melihat lebih ramai graduan dari Turkiye dan Malaysia, dan kami berasa amat berbangga,” katanya lagi.
Erdogan berkata demikian berucap di Istiadat Konvokesyen Khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), selepas dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Antarabangsa UM oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Canselor universiti tersebut.
Ketika menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sultan Nazrin, Erdogan berkata, beliau amat menghargai penganugerahan tersebut, dan menyifatkan ia sebagai satu cerminan penghormatan terhadap dirinya, negaranya, serta rakyatnya.
Terdahulu, Erdogan tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Pesawat yang membawa Erdogan mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.10 petang.
Dalam pada itu Erdogan berkata, salah satu faktor mengapa Malaysia menjadi pusat pendidikan tinggi ialah kerana Universiti Malaya itu sendiri, yang terus mekar di bawah kepimpinan Sultan Nazrin.
“Universiti Malaya, yang kini di tangga ke-60 dalam kedudukan Universiti Dunia, dengan hampir 40,000 pelajar, memainkan peranan yang amat penting dalam akademik dan penyelidikan di negara ini. Saya percaya kepimpinan Sultan Nazrin Shah, dengan sumbangan dan personaliti akademiknya, adalah satu faktor luar biasa dalam usaha ini.
“Seperti kita sedia maklum, universiti memainkan peranan kritikal dalam pembangunan masyarakat. Sistem akademik universiti yang kukuh akan mewujudkan generasi yang bersiapsiaga, dan ini mewujudkan asas kepada masa depan yang lebih cerah,” katanya lagi.
Erdogan berkata, beliau dengan sepenuh hati percaya Malaysia, yang merupakan bintang yagn semakin meningkat dalam rantau Asia, akan mencapai lebih banyak kejayaan dengan sumber manusia yang berpendidikan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)