Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai Osaka Khamis malam untuk lawatan kerja tiga hari beliau di Kyoto.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir mendarat pada 10.05 malam waktu tempatan (9.05 malam waktu Malaysia).

Turut mengalu-alukan ketibaan beliau di lapangan terbang adalah Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya, Duta Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan dan Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Lawatan kali keenam Perdana Menteri ke Jepun bakal menyaksikan beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Doshisha University.

Selain itu Dr Mahathir dijangka melawat syarikat TOWA Corporation dan Shimadzu Corporation selain melawat Ritsumeikan Elementary School.

Kesemua lawatan itu bagi mempelajari teknologi, kepakaran serta budaya pendidikan Jepun yang boleh diadaptasi Malaysia.

Pada malam kemuncak, Dr Mahathir dijangka bertemu 200 diaspora Malaysia di Kyoto termasuk pelajar dan ahli perniagaan.

Beliau dijangka mengakhiri lawatan kerja beliau pada Ahad dan pulang ke Malaysia.