Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan sambutan rasmi di Amiri Diwan bersempena dengan lawatan rasmi empat hari beliau di Qatar.

Ketibaan Dr Mahathir di Amiri Diwan pada 11.15 pagi waktu tempatan (4.15 petang waktu Malaysia) disambut Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sebelum lagu kebangsaan Malaysia dan Qatar dimainkan.

Dr Mahathir kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat dibarisi Pengawal Istiadat Amiri.

Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Negara Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Emir Qatar.

Lawatan itu adalah atas undangan Emir Qatar.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Mahathir ke Qatar selepas dilantik sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada Mei tahun lepas.

Selepas upacara sambutan itu, Dr Mahathir dijadual menghadap dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi antara Menteri Luar kedua-dua negara sebelum mereka menghadiri majlis makan tengah hari dihoskan Emir Qatar bagi meraikan perdana menteri.

Terdahulu, Dr Mahathir yang tiba di ibu negara Qatar malam tadi (Rabu, 11 Dis), mengadakan mesyuarat meja bulat dengan penggiat industri Qatar di Hotel St. Regis.

Pada tengah hari, Dr Mahathir dijadual mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Yayasan Qatar Sheikha Moza Nasser Al Missned, dan pada pertemuan itu mereka akan membincangkan hal ehwal pendidikan daripada pelbagai aspek berikutan yayasan itu menyasarkan menjadi hab pendidikan di Timur Tengah.

Lewat hari ini, perdana menteri juga akan menghadiri majlis bersama komuniti Malaysia dan ahli perniagaan Malaysia di Doha.

Mengiringi perdana menteri pada lawatan itu adalah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

-- BERNAMA