Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi isu-isu yang membelenggu pemandu teksi di negara ini.

Perkara itu disampaikan kepada Pengerusi Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa), Zailani Isaisuludin selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam bersama Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

"Perdana Menteri hari ini berjanji beliau akan menyelesaikan masalah yang melibatkan pemandu teksi dalam waktu terdekat.

"Beliau (Dr Mahathir) memberitahu bahawa perkara itu akan dikaji secara menyeluruh dan teliti. Kita yakin dan percaya perdana menteri seorang yang berpengalaman akan menyelesaikan perkara ini dengan baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Zailani menyaran Kementerian Pengangkutan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu-isu industri teksi di negara ini.

"Kami berharap undang-undang berkaitan industri teksi akan dikaji dengan baik, termasuk untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

"Kami berharap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membuka ruang perbincangan untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Beliau turut meluahkan ketidakpuasan hati apabila Loke tidak hadir pada pertemuan dengan perdana menteri di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Zailani bersama wakil-wakil pemandu teksi dari seluruh negara turut menyerahkan satu memorandum kepada Dr Mahathir.

Antara usul dan cadangan dalam memorandum itu termasuk mengurangkan 30 peratus harga kenderaan dan tempoh bayaran balik yang diluluskan sebagai kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam dan permohonan geran bulanan RM1 juta untuk Perjiwa menjalankan aktiviti dan kebajikan pemandu teksi yang sah dan layak.

--BERNAMA