'Leteran' pengelola akaun media sosial syarikat perkhidmatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menegur pengguna membawa air di dalam tren, mencuit hati netizen.

Dalam catatan di Twitter dan Facebook itu, Prasarana memuat naik gambar dua pengguna bersama satu minuman coklat yang dilihat tumpah dalam tren tersebut, dengan kapsyen: "Kepada barista yang membuat air ini tadi, kami tahu anda kecewa dan sedang berduka lara.

"Kepada pemilik air dan pelanggan yang kami sayangi, makan dan minum adalah dilarang ketika menaiki tren. Murunglah tu bukan? Sebab tidak sempat habiskan air itu."


Susulan itu, ada dalam kalangan warga media sosial di Twitter yang menyambut baik teguran yang dilakukan Prasarana itu.

Ada antara mereka berpendapat, larangan makan dan minum di dalam tren adalah bagi menghormati pengguna yang lain.

Pengguna Twitter Ked Flop mencadangkan supaya tanda amaran larangan makan dan minum perlu ditambah bagi memberi kesedaran kepada pengguna.

"Sekurang-kurangnya laplah (air yang tumpah) supaya tidak biarkan orang lain pijak atau kotorkan lantai," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook dengan nama Aini Nazrini meninggalkan komen meminta petugas tren menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih ketat.

"Halau je mereka.. tak faham arahan.. suruh jilat balik semua tu," tulisnya.

Manakala Fadzli Fadhilah berkata, wajah penumpang yang membawa minuman ke dalam tren itu sepatutnya didedahkan.

"Saya sakit hati apabila lihat orang makan dan minum dalam pengangkutan awam. Ini bukan kereta anda! Ini kenderaan yang dikongsi bersama!"