SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti punca henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) malam tadi berikutan pengesanan bau seakan diesel di kesemua muka sauk LRA tersebut pada 9.45 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata siasatan segera LUAS di jajaran Sungai Selangor mendapati pencemaran bau berpunca daripada tumpahan minyak aktiviti jentera berat dipercayai diesel ditemukan di tebing sungai berkenaan pada jarak sekitar 3 kilometer dari muka sauk LRA Rantau Panjang.

"Susulan itu, LUAS mengambil langkah segera dengan meletakkan 'oil boom' dan 'oil pad' di kawasan tumpahan serta menaikkan ban di tebing sungai untuk mencegah tumpahan minyak tersebut daripada mengalir masuk ke dalam sungai.

"Dalam masa sama, pemilik jentera berat telah mengalihkan jentera itu dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan berdasarkan arahan LUAS," katanya dalam kenyataan.

Hee berkata penutupan sementara muka sauk sekitar empat jam itu bertujuan sebagai kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan kesan pencemaran yang lebih teruk kepada sistem LRA.

"Permasalahan pencemaran ini berjaya dikawal segera dengan penyaluran air mentah bermula pada jam 10 malam semalam serta penurunan pintu baraj di muka sauk LRA.

"Siasatan lanjut sedang dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan sepenuhnya di lapangan. LUAS juga melaksanakan pensampelan bagi tujuan tindakan selanjutnya yang melibatkan perundangan," katanya.

Sementara itu, Hee memaklumkan sumber air mentah telah disalurkan semula pada 1.30 pagi ke muka sauk LRA Rantau Panjang manakala 2.15 pagi tadi ke muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Selangor Fasa 3 (SSP3) setelah mencatatkan bacaan kosong ton sebanyak tiga kali berturut-turut.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat LRA yang dihenti tugas sementara sejak malam tadi berikutan insiden pencemaran bau telah beroperasi sepenuhnya pagi tadi.

Bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula 6.30 pagi.

-- BERNAMA