IPOH: Seorang tukang urut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya berusia 18 tahun, Khamis lalu.

Tertuduh yang berusia 49 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyentuh mangsa bagi maksud seksual sedangkan dia mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai ayah tiri.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan di dalam bilik di sebuah rumah di daerah Kinta pada jam 12.30 tengah hari, Khamis lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dibaca bersama Seksyen 16(1) dan Seksyen 27(1) akta sama.

Pertuduhan di bawah seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1), boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Bagi hukuman di bawah Seksyen 27(1) pula, ia memperuntukkan pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun yang bermula selepas tempoh hukuman selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah memohon tarikh baharu untuk mengemukakan fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula kes.