MELBOURNE : Tujuh syarikat Australia telah menyatakan komitmen untuk menambah dan membawa pelaburan baharu ke Malaysia.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, komitmen itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Meja Bulat bersama pemimpin-pemimpin industri yang diadakan di sini, pada Selasa.

Antara aktiviti pelaburan yang bakal memasuki Malaysia itu ialah teknologi hijau dan tenaga guna baharu, katanya.

“Insya-Allah ada tujuh syarikat yang telah berada di peringkat akhir. Saya merasakan akan ada lagi (syarikat menyatakan komitmen untuk melabur).

“Terdapat 18 syarikat yang berjumpa Perdana Menteri hari ini, selain mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan enam lagi syarikat,” katanya selepas menyertai mesyuarat bersama pemimpin dan eksekutif kanan industri Australia terbabit di sini.

Walaupun proses memuktamadkan pelaburan itu akan mengambil masa antara dua hingga tahun, namun katanya apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk meyakinkan mereka untuk melabur di negara ini.

“Mereka telah mengadakan pertemuan bersama MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan berunding bersama agensi-agensi berkaitan.

“Kami mengharapkan mesyuarat di sini, terutamanya dengan komitmen oleh Perdana Menteri sendiri yang telah memberikan jaminan kepada mereka (pelabur) untuk kita mempercepatkan proses dan memperbaharui beberapa dasar yang sedia ada,” katanya.

Antara isu yang turut dibangkitkan oleh syarikat-syarikat Australia adalah supaya kerajaan terus mempermudahkan lagi proses pelaburan dan juga perdagangan, walaupun prosesnya ketika ini adalah lebih baik berbanding sebelumnya, namun masih ada banyak lagi ruang untuk diperbaiki.

Isu kedua yang dibangkitkan pula, katanya adalah mengenai keperluan untuk kerajaan terus memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui memandangkan Malaysia mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan Lynas, Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar nadir bumi itu dan dimaklumkan mengenai beberapa isu yang masih belum diselesaikan.