YAN: Sebanyak tujuh keluarga yang terdiri daripada klien pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) disantuni kerana terkesan akibat tragedi banjir lumpur baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, program itu bertujuan membantu keluarga yang terkesan dengan mengagihkan barangan keperluan harian, pembaikan kecil kediaman serta kawasan persekitaran yang mengalami kerosakan akibat musibah bencana alam tersebut.

Katanya, ia adalah strategi pengupayaan sosial oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama AADK dan ahli-ahli Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya Malaysia (PRSM) untuk berinteraksi serta mengadakan kerja amal kebajikan yang secara langsung mewujudkan komuntiti sejahtera tanpa dadah.
 

“Program berbentuk agihan sumbangan barangan keperluan harian dan gotong royong itu adalah inisiatif KDN untuk berada dekat dengan masyarakat dan bersama-sama AADK serta PRSM dalam usaha meringankan beban dan emosi mangsa terjejas.



“Selain itu, program ini juga bertujuan memperkenalkan Pembimbing Rakan Sebaya Malaysia (PRSM) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) naungan AADK yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui kerja-kerja amal dan sukarela.

“Keahlian PRSM terdiri daripada klien atau bekas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang sedang menjalani kepulihan dalam komuniti.

“Program kerja amal ini adalah salah satu pendekatan AADK untuk memperlihatkan bahawa mereka juga bersedia dan mampu menyumbang idea, tenaga dan kepakaran kepada masyarakat sama seperti orang lain,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa kira-kira sejam hadir untuk sama-sama menyumbang tenaga dan menyerahkan sumbangan dalam Program Kerja Amal Kemasyarakatan PRSM: Program Kami Prihatin @ Kebajikan Demi Kepulihan.

Dalam pada itu, Jonathan berharap agar program itu boleh mendekatkan lagi hubungan AADK dengan masyarakat selain mengukuhkan kefahaman masyarakat untuk memahami proses kepulihan klien sekali gus untuk menghilangkan persepsi dan stigma negatif terhadap klien AADK.