Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penutupan jalan tersebut bertujuan memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan, berikutan kehadiran ramai pengunjung ke kuil itu sepanjang sambutan tersebut.
Beliau berkata, jalan yang terlibat termasuk lampu isyarat Kampung Melayu ke Batu Caves, susur daripada arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves, Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves, serta susur MRR2 dari Sri Gombak ke Susur Perusahaan.
"Turut ditutup ialah simpang tiga Jalan Seri Batu Caves 8/Jalan Batu Caves Lama, simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves dan Jalan Susur Batu Caves Bypass menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves," katanya dalam sidang media Op Palu sempena Thaipusam di Batu Caves, pada Khamis.
Hussein berkata, hebahan penutupan jalan berkenaan juga akan dibuat menggunakan papan iklan elektronik dari arah Bulatan Batu Caves dan juga di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, 1,306 anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan semasa perayaan Thaipusam.
Beliau berkata, penugasan anggota dan pegawai polis daripada Kontinjen Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa lagi kontinjen berhampiran itu akan bermula pada 10 malam Sabtu ini sehingga perayaan berkenaan selesai pada 14 Feb.
Beliau turut menasihati pengunjung yang membawa kenderaan sendiri ke Kuil Batu Caves agar meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang dibenarkan dan memastikan kenderaan mereka dikunci.
"Kawasan Kuil ini juga merupakan kawasan larangan penerbangan dron, mereka yang hendak menerbangkan dron hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia," katanya. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)