SIK: Tugas melindungi dan menjaga keselamatan awam bukan hanya tanggungjawab pihak polis tetapi juga perlu dipikul seluruh masyarakat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, orang ramai perlu mempunyai sikap 'jaga tepi kain orang' dan cakna terhadap keadaan sekeliling dalam hal berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Tengok keluarga kita, tengok jiran-jiran kita... buka mata dan telinga, maklumkan kepada pihak keselamatan jika didapati ada tindakan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Community Policing dan Majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sik, dekat sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Hazani berkata program community policing merupakan antara inisiatif bagi mendekatkan polis dengan masyarakat setempat.

"Ini merupakan satu pendekatan kita bersama masyarakat agar masyarakat berani ke depan menyalurkan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang kepada polis.

"Kita nak persepsi diubah supaya polis sentiasa 'dirindui' oleh masyarakat," katanya.

Terdahulu, lebih 2,000 orang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat menghadiri program community policing berkenaan.

Program itu diserikan dengan pertunjukan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM), demonstrasi serang hendap kenderaan, pertunjukan payung terjun serta pameran Unit Narkotik, Unit Trafik, Unit Dron dan VAT 69 Komando. - BERNAMA