Jenazah seorang lagi mangsa kemalangan lima kenderaan di Lenggong Ahad lalu yang meninggal dunia pagi semalam selamat, dikebumikan pada jam sembilan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin Kuantan.

Jenazah Ismail Yaakob disemadikan bersebelahan pusara tiga lagi anaknya yang turut terkorban dalam kemalangan tragis tersebut.

Menurut anak sulung mangsa, Muhammad Hafiz Ismail, 27 tahun, bapanya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.40 pagi semalam di Hospital Taiping Perak.


BACA: Bapa tiga beradik maut hembus nafas terakhir

BACA: "Tunggu Mama di syurga..."

BACA: "Lori 'sapu' semua kereta, mayat kanak-kanak bergelimpangan" - Saksi

Kemalangan kira-kira 11 pagi Ahad lalu di lampu isyarat berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong itu, melibatkan lima kenderaan termasuk yang dinaiki Ismail sekeluarga.

Dalam kemalangan tersebut tiga anak Ismail, Muhammad Hanif , dan kembarnya, Nur Ain Hanifah, 8, serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Zarina Yong, 44, masih menerima rawatan di Hospital Taiping.

Nur Ain Hazirah Ismail 13 tahun yang turut sama dalam kemalangan hanya cedera ringan.

Dalam pada itu, Muhammad Hafiz berkata ibunya kini berada dalam keadaan stabil.