Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menerima kunjungan Dr Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah, rakyat Malaysia yang mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik Dunia, di Perdana Putra di sini.

Siti Khayriyyah, 33, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik Dunia dalam pertandingan FameLab International 2018 yang berlangsung di United Kingdom (UK) bulan lepas.

Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan bersempena pertemuan itu berkata kejayaan Siti Khayriyyah itu menunjukkan rakyat Malaysia terutamanya wanita mampu bersaing di persada antarabangsa.

"Kejayaan Siti Khayriyyah membanggakan dan membuktikan keupayaan rakyat Malaysia di peringkat dunia," kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Famelab International ialah pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda untuk menyampaikan teori dan konsep sains dalam bentuk kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami khalayak dalam tempoh tiga minit sahaja.

Siti Khayriyyah menewaskan 11 finalis lain untuk memenangi anugerah berkenaan menerusi pembentangan penyelidikannya mengenai penggunaan antibodi-antigen untuk diagnosis penyakit tuberculosis (TIBI) atau batuk kering yang bertajuk 'To Find a Hidden Killer' (Mencari Pembunuh Tersembunyi).

Siti Khayriyyah ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan itu berharap kejayaannya menjadi inspirasi kepada golongan wanita negara ini untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang dan menjadi perangsang untuk rakyat Malaysia mengenali komunikasi dalam sains dengan lebih dekat.

"Tanpa komunikasi yang baik masyarakat tidak akan mengenali sains apa lagi menunjukkan minat,"katanya.

Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Asma Ismail.

-- BERNAMA