SINGAPURA: Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Singapura mengutus perutusan tahniah kepada rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof atas pelantikan baru-baru ini dan berharap dapat mengadakan pertemuan tidak lama lagi.

Dalam perutusan tahniah itu, Lawrence Wong dan Heng Swee Keat antara lain menyatakan bahawa Perjanjian Rangka Kerja dalam ekonomi digital dan hijau yang dimuktamadkan pada Ogos 2022 akan menjadi asas untuk memperluas kerjasama dalam sektor baharu.

Kedua-dua timbalan perdana menteri republik itu juga menyuarakan keyakinan bahawa kedua-dua negara boleh meneroka peluang baharu kerjasama dan berharap dapat bekerja rapat untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Pada 2 Dis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik dua timbalan perdana menteri dalam barisan Kabinet baharunya yang terdiri 27 menteri.

Ahmad Zahid, pengerusi Barisan Nasional (BN) juga dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Luar Bandar dan Wilayah manakala Fadillah, naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Kedua-duanya mengangkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 Dis.

-- BERNAMA