Tourism Malaysia menjangka perbelanjaan pelancong meningkat lapan peratus tahun ini daripada RM28.1 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Musa Yusof berkata antara aspek yang boleh membantu meningkatkan perbelanjaan pelancong ialah menampilkan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah, terutama dengan kempen Year-End Sale atau Jualan Akhir Tahun (YES), kerana membeli-belah merupakan bahagian terbesar perolehan pelancongan pada 2018.

"Bagi perbelanjaan pelancong tahun ini, kami menyasarkan peningkatan sebanyak lapan peratus, jika tidak, sekurang-kurangnya lima peratus. Dari Januari hingga Mac 2019, perbelanjaan membeli-belah menunjukkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus pada RM7.05 bilion. Biasanya pada suku ketiga, ia (perbelanjaan) akan meningkat lebih banyak lagi.

"Kita tentunya mengharapkan prestasi pelancongan yang positif pada tahun ini. Antara Januari dan Jun 2019, ketibaan pelancong mencatatkan 13.35 juta, peningkatan 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, " katanya semasa sidang akhbar selepas pelancaran kempen YES Malaysia di sini, pada Ahad.

Musa berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Tourism Malaysia, barang-barang yang menjadi pilihan utama dibeli pelancong semasa kunjungan mereka ke Malaysia tahun lepas adalah kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan kasut.

Beliau berkata kempen YES juga boleh mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasar untuk menarik 30 juta pelancong dan RM100 bilion dalam perolehan pelancongan.

-- BERNAMA