IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun lebih RM283,000 terhadap peniaga yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) total lockdown, sehingga Sabtu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata ia melibatkan 41 kes pelanggaran Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, kebanyakan kes itu melibatkan sektor peruncitan, khususnya kedai serbaneka di stesen minyak.

"Kebanyakan kes-kes tersebut, ada yang buka lebih awal dari waktu yang dibenarkan, ada juga kita dapati mereka menutup lebih lewat perniagaan mereka dari waktu yang kita benarkan.

"Stesen minyak ini kita sedia maklum, kedai serbaneka boleh beroperasi mulai 8 pagi tapi ada yang dah buka seawal 6 pagi. Ini sudah melanggar SOP ditetapkan," katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai Op Bersepadu Pemeriksaan Pematuhan SOP Akta 342 di beberapa pusat beli belah di Ipoh pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, sejak total lockdown dilaksanakan 1 Jun lalu, seramai 2,262 penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara telah digerakkan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.

Dalam pada itu, katanya sejak pelaksanaan penguatkuasaan Akta 324 digerakkan pada Mei 2020 sehingga 5 Jun 2021, sejumlah 579, 892 premis telah diperiksa dan sejumlah 227 kompaun telah dikeluarkan.

Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan dengan lebih 98 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan.