Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed memuji tindakan cekap pelbagai agensi kerajaan berkaitan dalam menguruskan perpindahan dan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Beliau turut berpuas hati dengan keperluan yang disediakan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan termasuk dari aspek kesihatan.

Mustapa yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau beberapa kawasan yang dilanda banjir di sekitar Rantau Panjang di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman.

Mustapa berkata keadaan banjir di kawasan hulu Kelantan mulai pulih, namun pada masa yang sama kawasan hilir dijangka mengalami banjir.

"Jadi saya nasihatkan penduduk supaya mengikuti setiap arahan yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan dari semasa ke semasa bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

-- BERNAMA