TITAH DIRAJA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR

26 Februari 2024

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul, serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat, saudara saudari yang Saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur Saya kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah kurnia dan izin-Nya dapat Saya hadir ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada pagi yang mulia ini.

Istiadat hari ini amat bermakna buat Saya kerana ini merupakan kali pertama Saya berangkat ke Dewan Parlimen ini setelah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XVII pada 31 Januari 2024 yang lalu.

Pada kesempatan ini, Saya ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun yang lalu dengan adil dan bijaksana.

Insya Allah, dengan limpah kurnia serta izin-Nya, Saya akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas dan meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Tahniah kepada Perdana Menteri dan barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan yang telah menguruskan negara dengan sempurna dan tadbir urus yang baik. Pesanan Saya, sentiasa hayati denyut nadi rakyat kerana menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membela nasib mereka.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

2. Pemerintahan Saya sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Yang di-Pertuan Agong yang terdahulu mengikut Perlembagaan Persekutuan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.

3. Kedudukan Saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara.

4. Oleh itu, Saya menyeru kepada semua pihak sama ada yang duduk di sebelah kanan Saya atau yang di sebelah kiri Saya, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

5. Di mata Saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan diletakkan di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua 222 Ahli Dewan Rakyat kerana Yang Berhormat semua telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka di dalam Kerajaan.

6. Semua pihak sedia maklum keutamaan Saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, Saya berharap semua Ahli Dewan akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup seluruh rakyat.

7. Ingin juga Saya tegaskan di sini yang Saya tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggugugat kestabilan politik negara. Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang.

8. Saya juga ingin mengingatkan bahawa Parlimen ini adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan adalah para penggubalnya. Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.

9. Oleh yang demikian, Saya harap semua Ahli-ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

10. Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain. Oleh itu, Saya menyeru kepada Kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

11. Pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” – yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil.

12. Saya juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R (race, religion and royalty).

13. Kita semua sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mesti dihormati. Ia adalah hasil daripada persetujuan Raja-Raja Melayu untuk membentuk Persekutuan dan memberikan punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang.

14. Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara. Namun begitu, agama-agama lain masih dibenarkan untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada 6 mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini.

15. Saya berpuas hati dengan langkah-langkah yang dilaksanakan Kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963. Saya berharap agar perjanjian yang dimeterai ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan dalam memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

16. Saya berasa amat kecewa apabila dimaklumkan bahawa Kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar, kerana sejak tahun 1998 Kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal. Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti?

17. Dengan keadaan kewangan Kerajaan yang lemah ini, adalah sukar untuk Kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu Saya menyokong hasrat Kerajaan untuk mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.

18. Dalam pada itu, dasar-dasar baharu perlu terus diperkenalkan untuk melengkapi dasar-dasar nasional yang lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh. Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang 7 merupakan inisiatif pembaharuan fiskal bagi meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dan pengurusan kewangan awam.

19. Saya juga sendiri akan melihat perbelanjaan Kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan. Saya berharap semasa pemerintahan Saya ini, Kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

20. Kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 telah berkembang sebanyak 3.7% pada tahun 2023 dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada pada tahap sederhana. Kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3% pada tahun 2023 dan kadar inflasi sebanyak 2.5% sepanjang tahun 2023.

21. Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion dan telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama. Bagi perdagangan antarabangsa pula, eksport negara telah mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada tahun 2023.

22. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2024 diunjurkan berada pada tahap antara 4% hingga 5% disokong oleh langkah dan pembaharuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 tempoh hari.

23. Sebagai langkah jangka sederhana, kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang telah dilancarkan merupakan komitmen Kerajaan untuk merancakkan dan menstruktur semula aktiviti ekonomi serta pelaburan. Beberapa dokumen utama telah diperkenalkan selari dengan hasrat ini iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Belanjawan 2024 yang bakal mengangkat taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi dan sejahtera berlandaskan keadilan sejagat.

24. Saya juga amat berharap agar Kerajaan mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa.

25. Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap. Polisi yang dibuat di peringkat Persekutuan juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri-negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan yang berbeza-beza, terutama dalam sektor pembangunan hartanah.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

26. Dengan peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara, ramai graduan yang bermutu tinggi telah berjaya dihasilkan. Namun, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki.

27. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan yang bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan yang berpatutan.

28. Di kesempatan ini, Saya menyeru semua pihak agar memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan meneroka peluang ekonomi bagi menjana sumber pendapatan selain mempromosikan budaya dan warisan negara kepada para pelancong yang berkunjung ke negara ini kelak.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

29. Usaha meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dilaksanakan secara lebih tersusun bagi memastikan tahap jaminan makanan negara mencapai sasarannya. Pada masa yang sama, pelbagai program untuk meringankan beban petani, penternak, nelayan dan pengeluar makanan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap tinggi.

30. Oleh kerana kos import yang semakin tinggi, Saya menyeru kepada Kerajaan untuk meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara, terutama bekalan makanan harian dan bahan mentah.

31. Saya menyambut baik kedudukan Malaysia di tangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan Kerajaan. Saya mengalu-alukan usaha berterusan ini bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan perkhidmatan agensi Kerajaan.

32. Jentera Kerajaan juga mestilah meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya. Saya tidak suka dengan sistem yang banyak “red tape”. Oleh itu, kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.

33. Saya sangat berharap semua agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

34. Pendirian Malaysia dalam mendukung keamanan dan menentang keganasan harus disuarakan dengan lebih tegas di peringkat antarabangsa. Namun pada masa yang sama, peranan aktif Malaysia baik di peringkat ASEAN mahupun peringkat dunia perlu terus dimainkan bagi memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan mengambil kira cabaran geopolitik dan perkembangan serantau. Malaysia perlu menyuarakan ketegasan pendirian berhubung isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera diaktifkan dan akses bantuan kemanusiaan dipercepatkan kepada penduduk Gaza di Palestin.

35. Di kesempatan ini, Saya ingin menzahirkan penghargaan di atas taat setia yang telah dicurahkan kepada Saya dan negara tercinta oleh semua anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi Kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat dan lelah.

36. Terima kasih juga Saya ucapkan kepada semua rakyat jelata yang mengekalkan perpaduan yang harmoni, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada Rukun Negara.

37. Akhir kata, marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa agar Malaysia terus maju dan makmur, aman dan damai dan seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.