KULIM: Tindakan mahkamah atau perundangan terhadap bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang bertindak keluar daripada parti berkenaan sedang berjalan ketika ini.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kesemua mereka sebelum ini telah diberikan notis berhubung tindakan yang diambil selain ada antara kes-kes berkenaan kini hanya sedang menunggu tarikh penghujahan yang akan ditetapkan pihak mahkamah.

"Notis semua sudah disampaikan kepada mereka, sudah sampai ke tahap pengurusan kes, hingga pihak mahkamah menetapkan tarikh maka kedua-dua pihak akan berikan penghujahan maksudnya kejadian sebelum ini seperti mana MP Keadilan keluar ataupun dipecat.

"Pihak parti telah menghantar notis sesuai dengan perjanjian yang mereka tandatangan, mereka kena jawab, kemudian pengurusan kes dan kemudian mahkamah menetapkan tarikh," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, tindakan mahkamah hanya akan dikenakan ke atas Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan tidak melibatkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Pada Ahad, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil keputusan untuk memecat Larry Sng dan Steven Choong sebagai anggota Keadilan berkuatkuasa serta merta selepas kedua-dua Ahli Parlimen itu menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

BACA: Muhyiddin terima Akuan Bersumpah dua Ahli Parlimen pembangkang sokong PN