KEPALA BATAS: Lelaki yang menikam ibu saudaranya dengan gunting sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Pekan Darat, di sini semalam direman selama tujuh hari sehingga 21 Ogos bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supt C Tharmalingam ketika dihubungi Astro AWANI berkata lelaki berusia 43 tahun itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan permohonan reman itu  dibuat hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Tambah Tharmalingam, suspek mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat terjatuh dalam insiden semalam ketika pulang ke rumahnya sebelum insiden dia menikam ibu saudaranya itu.

Beliau berkata, setakat ini polis sedang melengkapkan siasatan dan akan mengambil keterangan percakapan ibu suspek serta saksi lain, manakala keterangan suspek hanya akan diambil selepas dia pulih daripada rawatan hospital.

Katanya ibu suspek berusia 72 tahun yang cedera di tangan sudah dibenarkan pulang semalam selepas menerima rawatan.

Sementara itu, ujian air kencing lelaki ke atas lelaki yang juga penganggur itu didapati negatif dadah.

Ditanya sama ada suspek mengalami masalah mental atau tidak, Tharmalingam berkata polis masih menunggu laporan lengkap dari pihak doktor.

Wanita warga emas maut ditikam anak saudara


Astro AWANI semalam melaporkan seorang wanita warga emas maut ditikam dengan gunting di kepala oleh anak saudara lelakinya ketika dia cuba meleraikan pertengkaran di antara dua beranak di sebuah rumah di Pekan Darat, Kepala Batas.

Mangsa berusia 80 tahun itu meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya.

Suspek yang mengamuk dan memecahkan cermin tingkap rumah jiran sebelum melarikan diri kemudian berjaya ditahan polis tidak jauh dari lokasi kejadian.