BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa di atas pertuduhan mencederakan ibu saudaranya.

Tertuduh yang berusia 14 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan pada Selasa selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya, namun memohon agar dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang akan memulakan persekolahan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Noor Shuhaida Mohamad Sohaime dengan menggunakan sebilah pisau.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Perai pada jam 11.30 pagi, 3 Januari lalu.

Oleh demikian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhaimin Hashim memohon mahkamah menetapkan jaminan yang rendah berikutan tertuduh masih kanak-kanak.

"Wang jaminan yang ditawarkan agak tinggi. Anak guam saya masih kanak-kanak dan akan memasuki persekolahan selepas ini.

"Oleh itu, saya mohon wang jaminan dikurangkan," katanya.

Mohd Harith kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditangguh sehingga 20 Mac untuk laporan forensik dan laporan perubatan.

Difahamkan, wang jaminan dibayar oleh bapa mangsa pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan selepas menikam ibu saudaranya dengan sebilah pisau di Flat Jalan Perai Jaya, Perai pada Jumaat.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kiri dan telah dirawat di hospital.

Kejadian dipercayai berlaku selepas suspek bertengkar mulut dengan mangsa selepas suspek memberitahu mangsa untuk tinggal semula dengan ibu kandungnya namun mangsa menghalang.

Ketika pertengkaran tersebut, suspek tiba-tiba menikam mangsa dengan sebilah pisau. - Sinar Harian