Tiga wakil misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia(KP1M) ke Gaza selamat memasuki wilayah Palestin yang menjadi sasaran serangan Israel melalui pintu sempadan Rafah pada Isnin.

Mereka berbuat demikian pada kira-kira 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) pada Isnin.

Maklumat itu disahkan Timbalan Presiden KP1M Datuk Mohd Farid Hassan.

Beliau berkata pergerakan mereka dari Qantara menuju ke Rafah pada Ahad menggunakan kereta perisai jenis Humvee turut diiringi dua kereta perisai berantai tentera Mesir.

KP1M
Presiden KP1M dan ketua misi berkenaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dalam perjalanan ke Gaza - Foto KP1M / HEIKAL ROSLI

Kumpulan itu merangkumi Presiden KP1M dan ketua misi berkenaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al-Agha bertolak dari Qantara pada 2.30 petang Ahad.

Tujuh puluh lapan sukarelawan lain tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Rafah atas faktor keselamatan dan diarahkan pulang ke Kaherah.

KP1M
Misi turut membawa kira-kira 5,000 kotak bekalan makanan untuk diagihkan kepada 25,000 warga Palestin - Foto KP1M / HEIKAL ROSLI

Arahan itu diberikan komander pos kawalan tentera di Qantara, yang terletak berhampiran Terusan Suez, selepas kira-kira lima jam konvoi berkenaan terkandas dan perbincangan diadakan.

Bagaimanapun, selepas kira-kira sejam bergerak dari Qantara, ketiga-tiga wakil misi berkenaan terpaksa berhenti dan bermalam di Al-Arish pada hari sama kerana dilaporkan berlaku kejadian tembak menembak sebelum dapat meneruskan perjalanan.

KP1M
Kumpulan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berdoa sebelum memasuki wilayah Palestin - Foto KP1M / HEIKAL ROSLI

Misi yang turut disertai anggota Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu merancang mengagihkan kira-kira 5,000 kotak bekalan makanan kepada 25,000 warga Palestin serta menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Dilaporkan hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 8 Julai lepas.