SHAH ALAM: Tiga restoran popular yang bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) memberi jaminan bahan-bahan dan makanan separa siap dihantar ke semua cawangan restoran menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pihak pengurusan Dolly Dim Sum dalam satu kenyataan memaklumkan, dapur berpusat yang membekalkan bahan-bahan dan makanan separa siap ke semua cawangan telah menerima sijil halal dari Jakim (JAKIM.700-2/3/1021-06/2024) pada 1 Ogos.

"Anda boleh menyemak status halal kami di laman web Jakim dengan menggunakan sembilan digit terakhir: 021-06/2024 (Klik pada Asia Mex, nama/ alamat korporat kami, untuk butiran lanjut).

"Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman kami pada 1 Ogos 2024, kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan kami.

"Memperoleh sijil halal dapur berpusat adalah sebahagian dari langkah penting dalam keseluruhan proses pensijilan ini dan kami berharap dapat menjelaskan sebarang kebimbangan. Kami juga berterima kasih atas kepercayaan serta sokongan anda," ujar kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, pihak pengurusan Johnny's Restaurants and Black Canyon Malaysia pula menjelaskan bahawa pada masa ini Johnny's Restaurants dan Black Canyon Malaysia belum lagi disahkan halal oleh Jakim.

Kenyataan dikeluarkan Dolly Dim Sum. - Foto Sinar Harian

Namun, pihak pengurusan restoran Johnny's Restaurant dan Black Canyon Malaysia ingin memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa semua bahan makanan digunakan di restoran-restoran tersebut termasuk ayam, telur, daging dan bahan mentah lain diperoleh daripada pembekal memiliki sijil halal.

"Salinan sijil-sijil ini dapat dirujuk di semua restoran kami, jika perlu," kata pihak pengurusan dua restoran tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Johnny's Restaurant dan Black Canyon Malaysia juga ingin memberi keyakinan kepada semua pelanggan bahawa tiada penggunaan sebarang alkohol atau wain dalam pemprosesan atau penyediaan makanan dan minuman yang dihidangkan.

"Kedua-dua syarikat tersebut memahami kepentingan pensijilan halal kepada pelanggan dan sedang berusaha untuk mendapat pensijilan halal daripada Jakim untuk dapur berpusat dan pensijilan individu untuk semua cawangan mereka," ujar kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan Johnny's Restaurant dan Black Canyon Malaysia. - Foto Sinar Harian

Semalam, semakan status halal bagi premis Johnny's Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw mendapati lima restoran terbabit bukan pemegang SPHM.

Jakim dalam kenyataan berkata, semakan itu dibuat berdasarkan dalam sistem MYeHALAL Jakim selepas menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.

"Untuk makluman, pertanyaan itu telah diajukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Jakim.

"Berdasarkan semakan semula yang dibuat melalui Portal Halal Malaysia mendapati premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best telah mempunyai empat outlet yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah," ujar kenyataan di laman Facebook Jakim semalam. - Sinar Harian