Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan tiga persatuan peniaga dan penjaja sekitar ibu negara untuk mendapatkan perintah injuksi sementara bagi menghalang perhimpunan Bersih 5.0 dan Gerakan Baju Merah di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Hakim S. Nantha Balan menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan plaintif tidak mempunyai merit dan tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati plaintif lambat mengemukakan permohonan itu dan ia tidak mematuhi peraturan mahkamah.

Plaintif masing-masing - Persatuan Peniaga Bazaar Melayu Moden Jalan Masjid India, Persatuan Penyewa Premis Perniagaan Medan MARA dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman memfailkan saman pemula itu semalam.

"Plaintif memberi alasan membuat permohonan dalam keadaan tergesa-gesa, sedangkan plaintif tahu perhimpunan akan diadakan pada 19 Nov ini, dua bulan lebih awal dan plaintif mempunyai masa yang cukup sebelum mengemukakan permohonan ini," katanya.

Nantha Balan berkata plaintif juga gagal mengemukakan sebarang bukti di mahkamah berhubung dakwaan terdapat laporan polis dibuat berhubung perhimpunan itu.

Persatuan itu menamakan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah; syarikat Bersih & Adil Network Sdn Bhd; dan Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih (Bersih 2.0) sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Turut dinamakan sebagai defendan keempat dan kelima ialah Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia.

Selain menghalang perhimpunan itu, persatuan itu turut memohon perintah injunksi bagi jalan ditutup selain pering pengkomitan terhadap pihak yang melanggar perintah injunksi tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa perhimpunan itu akan menyebabkan seramai 1,000 peniaga di sekitar Jalan Masjid India, Medan Mara dan Lorong Tuanku Abdul Rahman mengalami kerugian akibat daripada halangan jalan.

Plaintif mendakwa halangan jalan yang akan diadakan kelak akan mengakibatkan kehadiran pengunjung ke kedai dan gerai-gerai peniaga berkurangan dan menyebabkan mereka, yang mempunyai pendapatan minimum RM800 sehari, mengalami kerugian.

Plaintif diwakili peguam V. Mugunthan manakala peguam Datuk S. Ambiga dan Gurdial Singh Nijar mewakili defendan pertama hingga ketiga manakala defendan keempat dan kelima diwakili peguam Mohammed Nasser Yusof. -- Bernama