Tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat sebagai pengiring rapat kepada bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah diberi arahan kembali lapor diri ke ATM.

Tanpa mendedahkan butiran mereka, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata ketika ini kementeriannya sedang membuat siasatan berhubung perkara itu.

"Sebarang keputusan terhadap ketiga-tiga mereka berhubung kes ini (pengiring rapat kepada Hishammuddin) akan ditentukan kami," katanya ringkas pada sidang akhbar Simposium Antarabangsa Counter Terrorism dan Profesional Keselamatan (IACSP), di sini, hari ini.

Semalam, Mohamad mengarahkan kementeriannya melakukan siasatan segera berhubung dakwaan tiga anggota pasukan khas ATM masih berkhidmat dengan Hishammuddin dan tindakan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan sedia ada.

Pada masa yang sama Hishammuddin juga dilaporkan bersedia disiasat berhubung dakwaan itu.

Baru-baru ini, portal berita Malaysiakini melaporkan mengenai dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando masih menjadi pengiring kepada Hishammuddin, yang tidak lagi memegang portfolio itu berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lepas.

Menurut laporan portal berita itu, dua pegawai Paskal itu masih dalam perkhidmatan, yang masing-masing akan tamat perkhidmatan pada 2020 dan 2021, manakala komando itu didakwa antara individu yang kelihatan dalam gambar yang dimuat naik Hishammuddin di laman Twitter beliau baru-baru ini.

Ketiga-tiga anggota itu juga didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.

-- BERNAMA