Tiga maut, manakala seorang anggota polis cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 46 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, dekat sini, kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata mangsa yang terbunuh adalah sepasang suami isteri, Satawee Drmawee, 65 dan Jamaliah Ismail, 59, serta jiran wanita mereka, Saudah Yusof, 69.

Seorang anggota polis lelaki yang cedera ringan dalam kejadian pula dikenali sebagai Mohd Adlizan Mohd Taib, 28 tahun.

Rahmat berkata, Satawee dan Saudah adalah masing-masing peneroka Tanah Rancangan Felda Air Tawar 1, di Kota Tinggi dekat sini.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu Satawee dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja (dipandu Mohd Adlizan).

"Akibat kemalangan, Satawee bersama isteri serta jiran mereka meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan Waja itu pula mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rahmat berkata, siasatan awal mendapati tempat kemalangan merupakan jalan berselekoh dan dua hala, dengan keadaan cuaca ketika itu juga cerah.

"Siasatan awal juga mendapati kemalangan berpunca dari kenderaan mangsa yang masuk ke laluan bertentangan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.