Keprihatinan mengenai isu ekonomi, kebajikan, pentadbiran dan gejala sosial adalah wajar tetapi tidak perlu menyindir pihak yang mahukan hudud.

Perkara itu dinyatakan Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU), Fathul Bari Mat Jahya, ketika diminta mengulas mengenai klip video yang menampilkan hos stesen radio bisnes BFM, Aisyah Tajuddin, yang dikatakan mempertikaikan pelaksanaan hukum hudud dan mempersenda agama.

"Islam adalah agama yang menyeru kepada keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi. Saya setuju tentang keprihatinan perkara-perkara yang disebutkan dalam video tersebut berkaitan ekonomi, kebajikan, pentadbiran, gejala sosial dan lain-lain.

"Namun, adakah keprihatinan terhadap perkara-perkara berkenaan mengharuskan sesiapa sahaja membuat sindiran kepada pihak yang inginkan hudud?" kata Fathul Bari yang menambah bahawa harapan tentang hudud dan tentang isu-isu lain yang dibangkitkan itu sewajarnya saling melengkapi.

Fathul Bari memberitahu, hal yang membezakan antara intipati video itu dan pendirian kerajaan Kelantan hanyalah isu keutamaan.

"Adakah mereka yang berada di sebalik pembikinan video itu berkeyakinan bahawa kerajaan Kelantan mengenepikan hal-hal yang disebutkannya kerana semata-mata ingin melaksanakan hudud?

"Sememangnya Islam tidak meletakkan hudud sebagai perkara yang paling utama, namun, itu tidak mengharuskan mana-mana pihak untuk menghentam kerajaan Kelantan atas usaha mereka," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menambah, pada masa yang sama kerajaan Kelantan juga harus menerima teguran-teguran positif yang berkait rapat soal ekonomi, sosial dan lain-lain.

"Keprihatinan umat Islam seluruh negara perlu diambil kira kerana ia akan membantu mengimbangi kestabilan duniawi dan ukhrawi di Kelantan," ujarnya.


Tentang aurat

Fathul Bari berpendapat, walaupun soal aurat merupakan isu peribadi, adalah tidak wajar untuk video itu mempermainkan tentangnya seperti pada bahagian awal video berkenaan.

"Hukum aurat sangat jelas. Aurat bukan perlu dijaga di Kelantan sahaja, bahkan sebagai Muslim dan Muslimah kita wajib menutup aurat. Tindakan kerajaan Kelantan yang melaksanakan kempen menutup aurat itu satu usaha yang sangat mulia," katanya.

Meskipun Fathul Bari secara peribadi merasakan gusar tentang kaedah perlaksanaan hudud di Kelantan, namun sebagai orang Islam, beliau tertunggu-tunggu untuk melihat kebaikan yang akan terhasil dari pelaksanaannya.

"Sebenarnya perlu difahami, KPI hudud bukanlah diukur pada pelaksanaan hukuman semata-mata - yakni berapa ramai jumlah orang yang ‘dipotong’ tangannya. Sebaliknya, ia bergantung kepada keberhasilannya iaitu suasana yang aman dan tenteram kerana kurangnya jenayah.

"Pada masa yang sama berlaku peningkatan kesedaran, hak-hak manusia terjaga serta tuntutan maqasid syariah terpelihara," katanya.

Fathul Bari memohon semua pihak membantu kerajaan Kelantan untuk merealisasikan pelaksanaan hudud dan bukannya mengugut atau mengutuk.

Beliau turut menyeru semua pihak mengetepikan kekangan perlembagaan, perundangan dan politik dalam isu hudud agar tidak memberi imej buruk pada agama Islam. Beliau juga mengharapkan agar jawatankuasa bebas yang ditubuhkan tahun lalu untuk membincangkan soal pelaksanaan hudud di Malaysia, agar tampil bersuara.

"Pandangan mereka dalam isu hudud ini harus diketengahkan supaya masyarakat awam faham dan tidak dipengaruhi oleh sebarang sentimen politik murahan," jelasnya.