Meskipun ketika kelahiran dan seterusnya zaman kanak-kanak masih ada insan yang sedia membantu, nasib atau masa depan mereka masih tidak menentu apabila memasuki alam dewasa.
Persoalannya, sampai bila ATST ini perlu melalui kehidupan merumitkan?
Melalui tinjauan Astro AWANI baru-baru ini di sebuah rumah perlindungan di Ampang, Selangor, terdapat sekitar 50 anak-anak tidak sah taraf yang belum diketahui masa depannya menumpang kasih di situ.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Mohamad Zaid Mohamad Shah, bagi memastikan nasib anak-anak tidak berdosa itu terbela, pihaknya menerima kehadiran ibu hamil tanpa nikah yang meminta sokongan dan bantuan.
“Di sini kami ada pengkalan data, kami buat kaji selidik, setiap individu yang datang, kami tanya dari mana, macam mana boleh terjadi.
"Dari situ kami tahu apa yang berlaku. Kami perlu tahu, supaya untuk pengumpulan maklumat untuk kami membantu urusan yang lain,” ujarnya.
Tegas Zaid, langkah itu juga bagi memastikan anak-anak tersebut dapat menerima kasih sayang sewajarnya.
Zaid dalam masa sama bimbang kes-kes pembuangan bayi terus meningkat disebabkan tindakan tidak masuk akal ibu bayi terlibat selepas buntu untuk membuat keputusan.
“Kami percaya peluang kedua itu wujud. Bagaimana kami membantu mereka adalah dengan mengadakan usrah, kami terangkan kepada mereka (ibu-ibu hamil) apa peluang yang mereka ada.
"Jadi mereka harus bangkit kembali dengan nilai kehidupan yang baharu, lonjakkan diri dengan kerjaya. Kebanyakan mereka sudah putus harapan,” tambahnya lagi.
Namun, apa yang menjadi perhatiannya adalah nasib yang bakal ditempuhi anak-anak tersebut apabila mereka semakin membesar kelak.
“Harapan saya memang saya nak selesaikan masalah anak-anak ini, bagi kehidupan mereka setara yang lain, sebab itu yang pertama saya niat kalaulah tak dapat guna staus tak sah taraf itu, mungkin lebih baik, sebab dulu saya ada anak yang membesar, orang panggil dia anak luar nikah. Itu satu panggilan yang berat.
"Kemudian dokumen tak sah taraf itu pun sebenarnya berat juga... mungkin ada perkataan yang lebih baik untuk mereka, sebab mereka ini sudah ada branding, kadang-kadang tu ada yang tanya "Pa kenapa bin lain..." jadi lebih kepada tidak sah taraf, itu isunya... branding yang dia (anak tak sah taraf) bawa,” katanya dalam nada sebak.
Sehubungan itu, Zaid berkata, pihaknya akan meneruskan perjuangan mendapatkan dokumen dan memenuhi keperluan yang dituntut agar anak-anak tersebut dipandang setaraf seperti yang lain.
Fahami status Anak Tidak Sah Taraf
Stigma masyarakat terhadap ATST, sering memberi impak besar kepada proses pembesaran kanak-kanak ini.
Umumnya, mereka akan dipandang serong kerana dilahirkan tanpa ikatan yang sah dan halal di sisi agama.
Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh, berkata, masih ramai yang tidak jelas mengenai ATST.
Selain daripada anak yang dilahirkan sebelum atau tanpa perkahwinan, terdapat beberapa faktor lain yang merujuk kepada status tersebut.
“Ia termasuk anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariah daripada tarikh perkahwinan ibu bapa mereka dan anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang berkahwinan di luar negara dan gagal mendaftarkan perkahwinan di pejabat agama di Malaysia.
"Bagaimanapun, dalam kategori ini sekiranya ibu bapa buat pengesahan di mana-mana pejabat agama di Malaysia, JPN akan membuat pindaan di mana anak tersebut akan dibin kepada bapa biologi dan JPN akan keluarkan Seksyen 13 pada sijil lahir tersebut,” jelasnya.
Berhubung masalah yang timbul berikutan stigma awam mengenai ATST, apa yang perlu difahami katanya, JPN tidak meletakkan status mereka di dalam sijil kelahiran.
“Kita sebenarnya memahami masalah yang ditimbulkan oleh orang awam. Ini adalah kerana kebanyakan mereka ini berbinkan Abdullah dan Asma'ul Husna, itu adalah salah satu cara kita mengelak atau buang stigma bahawa mereka itu anak tak sah taraf," ujar beliau.
Dalam sijil kelahiran tersebut, katanya, JPN tidak menyatakan atau tidak mencatatkan apa-apa perkataan yang menjelaskan status anak tersebut.
"Tiada catatan dalam sijil kelahiran, cuma JPN nyatakan Seksyen 13 di bahagian bawah, cuma itu sahaja petunjuk untuk merujuk anak tersebut,” tambahnya lagi.
Rusli juga menekankankan, ibu bapa atau individu terlibat perlu memainkan peranan dalam pengurusan pendaftaran anak.
Menurut beliau, tidak kira sama ada anak itu dilahirkan sebelum perkahwinan atau sebaliknya, setiap kelahiran perlu didaftarkan di pejabat JPN.
“Jadi mereka yang ada masalah seperti berlakunya kelahiran sebelum perkahwinan mereka boleh terus ke pejabat JPN dan tak perlu rasa bimbang.
"Ini adalah stigma masyarakat bahawa saya datang bawa bayi untuk didaftarkan tiada bapa, ketakutan pada diri ibu khususnya berlaku.
"Apa yang saya minta mereka tidak perlu bimbang, JPN akan bantu untuk daftarkan anak mereka walaupun dalam sijil kelahiran tersebut tidak dinyatakan siapa bapanya, JPN tetap mendaftar bayi tersebut
“Daftarlah kelahiran tersebut bagi mengelakkan kesusahan kepada anak tersebut bila mereka membesar.
"Ini terutama bila nak nak ke sekolah kebanyakan ibu bapa bersusah payah ke JPN dan pada waktu itu amat sukar untuk JPN buktikan dokumen kelahiran itu berlaku,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, berdasarkan data JPN, bagi tahun 2010 hinggan 2019, seramai 362,246 bayi direkodkan bagi pendaftaran kelahiran di bawah Seksyen 13/10/11 dan tanpa maklumat bapa.