Rakyat perlu menerima dan membiasakan diri dengan normal baharu kehidupan yang dilalui semasa kerajaan sedang berusaha menangani penularan COVID-19 hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun ia perubahan besar namun perlu diakui semua orang berubah dan berbeza sepanjang masa.

"Sebagai contoh normal kerja berbeza, boleh kerja rumah. Kita boleh duduk di rumah, tetapi disiplin, kena beri cukup masa untuk kerja, kalau di pejabat dari 8 pagi sampai 6 petang petang, kita dalam pejabat kerja.

"Kalau di rumah bila hendak kerja sikit, ada urusan lain. Buat kerja jadi beri hasil seperti tidak dijangka, jadi kerja rumah memerlukan cara hidup berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi temubual di Facebook bersama Pakar Perunding Perubatan dan Respiratori di Pusat Perubatan Sunway Velocity Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.




Dalam pada itu Dr Mahathir memberitahu, banyak perbezaan dalam usaha pembangunan semula fasa selepas COVID-19.

Ujarnya, ia sekali gus menunjukkan perbezaan dari aspek teknologi dalam perawatan pandemik berkenaan.

"Berbeza, banyak perbezaan, kita tidak pernah ada penyakit yang begitu mudah berjangkit ke seluruh dunia. Saya tidak pernah alami pandemik macam ini.

"Selain itu teknologi berubah, teknologi dahulu tidak ada perubahan, teknologi sekarang ada memberi kemudahan.

"Sekarang ada, cara kita menangani penyakit yang begitu mudah berjangkit, kedua alatan moden boleh kita guna untuk meredakan keadaan," kata Tun Mahathir lagi.

Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, kerajaan perlu mengenalpasti langkah-langkah yang perlu diambil sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Katanya, ia merangkumi kajian pakar serta langkah-langkah susulan yang perlu dilakukan apabila dibenarkan keluar rumah.

"Semua ini, iaitu tiap-tiap langkah kita ambil untuk selamatkan diri perlu dikaji satu persatu dan tindakan diambil sama ada perlu tamat atau kekal.

"Itu akan ambil masa sebab kita dalam percubaan untuk tentukan tindakan ini, setakat mana berkesan.

"Pakar akan buat perhatian, data, angka dan semuanya kena dikaji. Tidak perlu gopoh," katanya.

Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan PKP dilanjutkan selama dua minggu iaitu bermula 15 hingga 28 April ini.

Jelasnya, lanjutan tempoh berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangani COVID-19 dan pada masa mengelak penularannya dalam kalangan masyarakat.