KUALA LUMPUR: Kerjasama dengan negara serantau penting bagi meningkatkan keupayaan digital negara dalam mencapai sasaran AS$2 trilion (RM8.35 trilion) ekonomi digital ASEAN pada 2030.


Ringkasan AI
  • Kerjasama Serantau: Kerjasama dengan negara-negara ASEAN penting untuk meningkatkan keupayaan digital Malaysia dan mencapai sasaran ekonomi digital ASEAN sebanyak AS$2 trilion (RM8.35 trilion) pada tahun 2030.
  • Peranan Malaysia: Malaysia akan memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan dan berharap untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota lain untuk meningkatkan kecekapan, pertumbuhan ekonomi, dan kualiti hidup rakyat.
  • Sokongan kepada PKS: Kerajaan, melalui MDEC, menyediakan geran dan bantuan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menghadapi cabaran dalam transformasi digital mereka, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).


Menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo, ia satu keperluan untuk meneroka pasaran besar Asia Tenggara kerana rangkaiannya mencapai lebih 70 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Tahun depan Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, jadi kita harap untuk kerjasama rapat dengan negara anggota lain bagi tingkatkan keupayaan digital dan daya tahan serantau. Ini dapat tingkatkan kecekapan, memacu pertumbuhan ekonomi dan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran NextBigTech Asia 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi NextBigTech Asia, Selva Nagappan; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan serta ratusan peserta dari dalam luar negara.

Gobind berpandangan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk Malaysia menerajui hab digital Asia Tenggara kerana kementeriannya menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) banyak melaksanakan program berimpak tinggi.

Beliau berkata langkah sedemikian selaras dengan usaha negara dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan transformasi digital ekonomi menyeluruh pada 2030.

Dalam masa sama, Gobind juga optimis kepesatan teknologi memberikan pasaran global lebih mudah diakses terutama bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana mereka antara penyumbang ekonomi negara dengan rekod sekitar 96.7 peratus perniagaan.

“Namun kita sedar PKS berdepan pelbagai cabaran dalam perjalanan digital mereka dan kerajaan sentiasa bersedia membantu melalui kerjasama rapat dengan komuniti perniagaan untuk menangani isu berkenaan,” ujarnya.

Bagi menangani segala cabaran berbangkit, Gobind berkata MDEC menyediakan tiga geran utama iaitu Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG) dan Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG).