Selepas 50 tahun penubuhan Malaysia, sudah tiba masa untuk menghapuskan keperluan menamakan bangsa dalam sebarang borang dalam negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

"Selepas 50 tahun penubuhan Malaysia, sedihnya kita masih dipisahkan dengan identiti kaum dan agama.

"Mungkin sudah tiba masa untuk menghapuskan keperluan menamakan bangsa kita dalam sebarang borang dalam negara ini," katanya ketika merasmikan Dialog Perpaduan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Dalam ucapan itu juga beliau berkata, Dialog Perpaduan merupakan platform terbaik bagi mendapatkan idea pandangan dan cadangan dari masyarakat akar umbi berkaitan dengan isu-isu perpaduan negara dan integrasi.

Joseph juga berkata Dialog Perpaduan dengan tema Suara Akar Umbi akan menjadi jambatan perpaduan yang diharapkan dapat memperkasakan keharmonian ke arah penyatuan nasional negara ini.

Katanya, Dialog Perpaduan akab memberi gambaran terhadap tahap kesefahaman dan semangat muhibah yang diamalkan antara kaum serta meninjau sejauhmana ianya mencapai objektif ke arah pembentukan Malaysia yang bersatu dan beridentiti nadional.

"Selain daripada itu, Dialog Perpaduan ini juga akan secara tidak langsung memperluaskan pengetahuan ahli-ahli NUCC terhadap isu-isu dam cabaran di dalam memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Tan Sri Shamsudin Osman dalam ucapan aluannya berkata pihaknya berpendapat penganjuran Dialog Perpaduan boleh memberi peluang kepada akar umbi menyatakan pandangan mereka mengenai isu-isu pengukuhan perpaduan.

Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi anjuran MKPN dan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan diadakan di 18 lokasi .