Tian Chua, 51, yang juga Ahli Parlimen Batu, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar 11.30 pagi untuk memberikan keterangan sebelum ditahan.
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvam yang berada di luar balai polis turut memaklumkan kepada pihak media mengenai penahanan terbabit.
Polis hari ini menahan Naib Presiden PKR, Tian Chua bagi membantu siasatan berhubung pembabitannya dengan perhimpunan #KitaLawan.-Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah menerusi Facebook berkata, Tian Chua akan dibawa ke balai polis Jinjang petang ini.
“Polis akan merekodkan keterangan Tian Chua pada pukul 3 petang hari ini. Dia akan ditahan sehingga esok. Pendengaran mengenai lanjutan tahanan reman akan dilakukan esok jam 10.30 pagi,” kata Wan Azizah lagi.
Lewat malam tadi sekumpulan anggota polis dilaporkan telah cuba menahan Tian Chua di kediamannya. Namun tiada penahanan dilakukan selepas rundingan berlangsung.
Turut hadir memberikan keterangan di Balai Polis Dang Wangi hari ini adalah Ketua Pemuda PSM K.S. Bawani.
Bawani, 29, bagaimanapun dilepaskan selepas sejam kemudian.
Bawani (kiri) dilihat ketika tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi kenyataan tentang perhimpunan #KitaLawan.- Foto Astro AWANI/SATHESH RAJ
Menurut Bawani keterangan yang diberikan adalah berkaitan perhimpunan #KitaLawan.
Beberapa individu yang ditahan berkaitan perhimpunan #KitaLawan sebelum ini adalah Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrul Razi, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, penyelaras PKR Jingga-13 Mohd Fariz Musa, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, pemimpin PKR Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli, ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong dan ahli PKR Subang S. Jayathas.
Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh juga pernah direman untuk siasatan berkaitan perhimpunan yang sama.