Ringkasan AI
- Malaysia komited memerangi Islamofobia dan keganasan terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan melalui forum pelbagai hala.
- Malaysia menggesa pelantikan Wakil Khas PBB bagi Memerangi Islamofobia dan telah melantik Penasihat Khas untuk tujuan tersebut.
- Dialog terbuka perlu digalakkan untuk mengelakkan salah faham terhadap agama Islam dan umatnya.
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, melalui forum pelbagai hala, Malaysia secara konsisten menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, tamadun, dan kepelbagaian agama bagi memupuk keamanan serta keharmonian antara negara.
Sehubungan itu, Kementerian berkata, Malaysia terus menggesa supaya pelantikan Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Memerangi Islamofobia disegerakan.
Tambahnya lagi, Malaysia juga telah melantik Penasihat Khas bagi Pembangunan Keamanan, Pendamaian dan Memerangi Islamofobia sebagai tanda komitmen dan kesungguhan negara dalam menangani isu ini.
“Kerjasama pelbagai pihak adalah amat penting dalam membentuk masyarakat dunia yang menghormati dan meraikan kepelbagaian, serta memastikan pemahaman dan keharmonian dapat dikekalkan.
“Malaysia kekal teguh dalam usahanya menangani Islamofobia dan akan terus menggalakkan budaya toleransi dan keamanan berlandaskan kepada hak asasi manusia serta menghormati kepelbagaian agama dan kepercayaan,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia,
Terdahulu Kementerian berkata, ketika sentimen kebencian dan keganasan terhadap Islam serta umat Islam sedunia yang kian meruncing, adalah penting bagi menggalakkan perpaduan dan memupuk keharmonian dan keamanan di kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan kepercayaan.
“Peningkatan kebencian, intoleransi, dan keganasan terhadap umat Islam serta minoriti agama lain kekal membimbangkan.
"Fitnah terhadap mana-mana agama adalah pelanggaran hak asasi manusia dan bertentangan dengan semangat Artikel 1 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menegaskan bahawa “semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi martabat dan hak”.
“Menangani Islamofobia pada peringkat akar umbi memerlukan penglibatan di pelbagai peringkat, terutamanya di Perhimpunan Agung PBB, Majlis Hak Asasi Manusia, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya lagi.
Wisma Putra menegaskan dialog terbuka perlu sentiasa digalakkan bagi mengelakkan salah faham atau salah tafsiran terhadap agama Islam dan umatnya.
