Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bekas Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk meletak jawatan.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki kepada Astro AWANI melalui aplikasi WhatsApp pada Selasa.

"Tiada," katanya ringkas ketika ditanya sekiranya Mohd Shukri melepaskan jawatan disebabkan menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebelum ini, Mohd Shukri bersara awal pada Julai 2016 ketika menjawat jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) badan pencegah rasuah itu disebabkan menerima tekanan ketika menjalankan siasatan mengenai wang RM2.6 billion yang ditemui di dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu diceritakan Mohd Shukri dalam sidang media sejurus dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei tahun lalu.

Ketika itu, Mohd Shukri mendedahkan, terdapat banyak gangguan semasa siasatan mengenai kes berkenaan dijalankan termasuk saksi 'dicuri' dan terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat selepas diekori beberapa individu.

Hari ini, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Latheefa menggantikan Mohd Shukri berkuat kuasa 1 Jun lalu.

BACA: Latheefa Koya kini terajui SPRM, ganti Shukri Abdull

BACA: "Saya bukan lagi ahli PKR" - Latheefa Koya