Let’s move on. The country needs healing." (Mari teruskan kehidupan. Negara ini perlu pulih).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu hantaran terbaru di akaun media sosialnya mengajak rakyat Malaysia supaya tidak lagi mengeruhkan keadaan berkaitan isu Dr Zakir Naik.

Dalam satu hantaran terkini di Instagram, beliau memuat naik gambar sesi pertemuan dengan penceramah bebas yang berasal dari India berkenaan.

“Tidak ada seorangpun dalam dunia ini yang bebas dari melakukan kesilapan. Dr Zakir Naik sudah minta maaf. Saya sendiri banyak kali lakukan kesilapan dan kena berlapang dada bila ditegur,” katanya menerusi kapsyen.

Tambah Syed Saddiq, mana-mana pihak pun tidak perlu untuk mendabik dada apatah lagi menghina dan mencaci.

“Malaysia merupakan negara yang berbilang bangsa dan agama. We believe in moderation over extremism. (Kita percaya pada kesederhanaan berbanding ekstremisme). Kesatuan kita, adalah kekuatan kita.

“Setiap bangsa, ada sumbangannya yang tersendiri. Mereka merupakan rakyat Malaysia, sama seperti saya. Mari kita terus mengikat masa depan kita bersama,” pesan Syed Saddiq.


Dr Zakir Naik mencetus kontroversi sejak beberapa minggu lalu berikutan isi ceramahnya yang didakwa mengguris perasaan etnik tertentu di negara ini.

Sebagai reaksi balas, ada tekanan yang dibuat oleh beberapa pihak supaya Zakir tidak dibenarkan lagi menyampaikan ceramah dan dihantar pulang ke negara asalnya.

Pada 14 Ogos lalu, ketika isu itu masih panas, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu pendakwah Dr Zakir Naik diusir dari Malaysia.

Menerusi kenyataan aplikasi WhatsApp untuk menjawab soalan media, Syed Saddiq turut bersetuju dengan gesaan beberapa menteri Kabinet agar Zakir dihantar pulang.

Pada 22 Ogos, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Zakir tidak akan dihantar pulang sekiranya beliau tidak membuat sebarang masalah.