KUALA LUMPUR: Semua penyiar di negara ini diminta berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bagi meneliti pendakwah jemputan yang diundang bagi program agama di platform masing-masing.


Ringkasan AI
  • Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, meminta semua penyiar berbincang dengan Jakim dan Yadim sebelum menjemput pendakwah bagi program agama, untuk memastikan penyelarasan dan garis panduan yang jelas.
  • Ini dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan dalam isu-isu agama. Fahmi menegaskan perlunya kerjasama dengan agensi seperti Jakim dan Yadim untuk menilai asatizah yang diundang.
  • Contoh tindakan ini adalah rehatkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dari program Salam Baitullah selepas kontroversi mengenai kenyataannya yang tidak bersandar pada dalil yang sahih.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sebarang perkara membabitkan agama, sepatutnya mempunyai penyelarasan dan garis panduan yang lebih baik supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan.

"Kita akan berhubung dengan pihak Jakim dan Yadim (kerana) saya lihat mereka perlu bantu untuk meneliti asatizah yang dijemput dan walaupun kita beri ruang kepada semua, tetapi bila melibatkan aspek agama saya rasa perlu ada sedikit penyelarasan dengan Jakim dan Yadim.

"Saya akan meminta semua penyiar untuk adakan perbincangan dengan Jakim dan Yadim untuk penyelarasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mydin Mart Pantai Dalam dan menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada penduduk di Parlimen Lembah Pantai, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan garis panduan yang perlu ada bagi memantau pendakwah bebas yang dijemput dalam sebarang program agama.

Ditanya mengenai tindakan merehatkan pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, dalam sebuah program agama terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), Fahmi berkata pihaknya menyerahkan kepada Jakim untuk meneliti perkara tersebut.

"Pihak Jakim telah beri teguran sebelum ini dan kita serah kepada mereka kerana pandangan sebelum ini telah diterima dan diberi nasihat, tetapi akibat tindakan baru-baru ini wajar diberikan sedikit masa (direhatkan) sebelum kita jemput beliau semula," katanya.

Ustaz Don Daniyal sebelum ini pernah direhatkan selama seminggu daripada program Salam Baitullah terbitan RTM, susulan kenyataannya mengenai kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang tidak disokong dalil yang sah.

Bagaimanapun beliau muncul kembali mengemudi rancangan itu pada Khamis, namun sekali lagi menimbulkan kekeliruan selepas mengeluarkan kenyataan mengenai manfaat memandang wajah guru lebih baik berbanding bersedekah 1,000 ekor kuda di jalan Allah SWT, yang dikatakan tidak merujuk kitab-kitab sahih.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman mengambil keputusan untuk merehatkan sepenuhnya pendakwah bebas itu daripada program tersebut.

-- BERNAMA