KUALA LUMPUR: Tiada perancangan untuk menafikan hak mereka yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin berkata, biarpun masih terdapat keraguan dalam kalangan orang ramai, beliau yakin snowball effect akan membantu meyakinkan mereka.

"Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sentiasa terbuka. Kalau seorang individu dapat appointment tetapi batalkan, kemudian dia terbuka hati untuk ambil suntikan selepas itu, dia masih boleh lakukannya.

"Setakat ini tak ada perancangan untuk sekat atau nafikan hak mereka yang tidak ambil vaksin, seperti tak boleh keluar melancong atau bekerja. Tetapi jika keadaan memaksa, maka kita perlu cari penyelesaian yang lebih komprehensif.

"Tetapi saya yakin kita belum sampai ke tahap itu lagi. Kita sekarang masih di peringkatkan meyakinkan orang ramai dengan maklumat yang tepat dan menyeluruh berkenaan vaksin.

"Saya juga yakin apabila makin ramai yang telah disuntik, bercerita yang mereka tidak ada sebarang kesan sampingan, snowball effect itu akan membantu memberi keyakinan kepada orang ramai," jelasnya dalam sesi Zoom bersama pengamal perubatan MedTweetMY, malam ini.

Khairy menambah, setakat ini juga belum ada sebarang undang-undang dirancang untuk membendung gerakan anti vaksin, namun ordinan baharu digubal untuk memudahkan tindakan diambil terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu.

"Kita tidak sasarkan kepada gerakan anti vaksin, sebaliknya ordinan ini adalah berkenaan berita yang disebarkan. Kalau berita itu palsu, kita akan ambil tindakan," ujarnya.