Kementerian Luar Negeri hari ini mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia terlibat dalam insiden tembakan sebuah pusat membeli-belah di tengah Munich, Jerman.

Menurut Wisma Putra, pihak berkuasa Jerman telah menyatakan bahawa 10 orang, termasuk penembak yang disyaki telah terbunuh dan 16 lagi cedera.

"Kedutaan Besar Malaysia di Berlin dan Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan telah memberi maklumat terkini dan segera kepada komuniti Malaysia di sekitar Munich berhubung kejadian tersebut," kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Wisma Putra turut mengesahkan terdapat beberapa kumpulan rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan pusat membeli-belah Olympia Einkaufzentrum ketika kejadian, termasuk sepasukan atlet Malaysia yang sedang mengambil bahagian dalam kejohanan bowling 7th Track Open di Munich.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, mereka telah menghubungi pihak Perwakilan Malaysia dan dilaporkan selamat serta berada di lokasi yang terkawal.

"Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam insiden ini," kata kenyataan itu lagi.

Dalam kejadian pada jam 6 petang waktu Jerman itu, seramai 10 orang maut, termasuk suspek manakala 16 lagi cedera dalam insiden melibatkan seorang penembak.

Menurut Polis Munich, suspek telah melepaskan tembakan di pusat beli belah dan restoran makanan segera McDonald's berhampiran sebuah stadium Olimpik sebelum menembak mati dirinya sendiri.